MEMILIH untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ternyata menjadi satu keputusan tepat yang dibuat oleh Nurin Erdiani Mhd Fadzil.
Dalam perjalanannya untuk menyempurnakan pengajiannya itu, wanita yang berusia 36 tahun itu telah melakar satu sejarah apabila menerima Emerging Scholar Award daripada Common Ground
Research Network Amerika Syarikat sempena persidangan antarabangsa 21st International Conference on Technology and Society 2025 yang berlangsung di Taiwan baru-baru ini.
Hanya lima penerima yang dipilih dari seluruh dunia untuk menerima anugerah itu dan Nurin Erdiani adalah salah seorang daripadanya.
Kejayaan yang dilakarnya itu sekali gus mengangkat martabat akademia negara, sebaris penerima lain dari institusi-institusi terkemuka dunia seperti University of Cambridge (United Kingdom),
Ontario College of Art and Design University (Kanada), National University of Singapore (NUS) dan University of the Pacific, San Francisco (Amerika Syarikat).
Emerging Scholar Award adalah satu pengiktirafan berprestij dari Common Ground Research Networks AS sebagai pengiktirafan kepada penyelidik muda dari seluruh dunia yang menunjukkan kecemerlangan akademik, komitmen dalam penyelidikan serta potensi besar mencorak landskap ilmu dan teknologi masa hadapan.
Nurin Erdiani berkata, anugerah itu diberikan atas penyelidikannya untuk pengajian PhD. Penyelidikannya adalah berkaitan pembangunan dan penilaian Kerangka Pembelajaran Multimodal dalam penulisan akademik Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (ESL) khususnya dalam konteks penuntut universiti.
“Kerangka ini disertakan dengan integrasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan penguasaan menulis dalam kalangan pelajar terutamanya.
“Kaedah konvensional untuk penulisan akademik sebenarnya sangat rumit kerana memerlukan kemahiran berfikir yang lebih tinggi dan ramai pelajar tidak boleh untuk menguasainya,” katanya.
Tambahnya, oleh itu dia bangunkan kerangka tersebut yang dapat membantu pelajar universiti terutama dalam penulisan akademik.
Sebenarnya, kerangka itu telah wujud sejak tahun 1994 lagi dan hanya sekali dikemas kini pada tahun 1996.
“Bayangkan, sejak itu kerangka ini tidak pernah dikaji semula secara serius.
“Sedangkan sekarang kita sudah ada AI, teknologi pembelajaran baharu dan banyak pendekatan moden lain yang boleh diintegrasikan dalam kerangka ini.
“Jadi, daripada itu saya mengambil inisiatif untuk mengintegrasikan teknologi terkini di dalam kerangka ini,” jelas Nurin Erdiani yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Mengulas tentang perasaannya setelah menerima anugerah tersebut, Nurin Erdiani berkata, dia sangat bersyukur dan terharu kerana diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Anugerah itu juga menjadi satu pembakar semangat untuk menyempurnakan pengajiannya dan terus maju dalam bidang penyelidikan.
Menurutnya, bagi seorang pelajar PhD, perjalanan dalam melakukan analisis kajian dipenuhi dengan kembimbangan.
“Apa yang paling saya takut adalah apabila analisis kajian kita ini ‘syok sendiri’ di mana kita sudah rasa betul, tetapi sebenarnya ia belum cukup kukuh.
“Tetapi kehadiran saya ke persidangan antarabangsa untuk membentangkan tentang penyelidikan saya sekali gus dapat pengesahan pakar dalam analisis kajian saya,” ujarnya.
Tambahnya, apabila berpeluang membentangkan penyelidikan dan dalam masa sama mendapat anugerah tersebut, dia yakin berada di landasan yang betul.

Apa yang lebih bermakna buatnya, di persidangan tersebut Nurin Erdiani tidak menyangkan bahawa akan menerima penghargaan daripada tokoh akademik yang selama ini hanya dikenalinya melalui bacaan.
Dia sendiri tidak sedar sebenarnya, anugerah itu disampaikan oleh Prof. Bill Cope dan Prof. Mary Kalantzis dari University of Illinois.
Nurin Erdiani menggunakan kerangka yang dibangunkan oleh mereka berdua untuk rujukan penyelidikannya.
“Saya mendapat peluang untuk berbincang secara bersemuka dengan mereka tentang kerangka baharu yang saya cadangkan.
“Ini antara pengalaman manis saya ketika menghadiri persidangan ini kerana dapat membentang penyelidikan saya kepada mereka yang lebih pakar,” jelasnya.
Kejayaan yang diraih oleh Nurin Erdiani dimaklumkan menerusi e-mel.
“Saya masih ingat, pada satu malam saya mendapat e-mel bahawa saya dapat anugerah ini pada pukul 11 malam dan pada ketika itu saya berada di bilik Ibu saya,” katanya.
Dia kemudian dijemput ke Taiwan untuk membentangkan hasil penyelidikan dan pada masa sama menerima anugerah tersebut.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas tentang pemilihan bidang TESL yang diceburinya, Nurin Erdiani berkata, dia minat dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris sejak dari kecil lagi.
Dia masih mengingati momen menulis cita-citanya di atas helaian kertas ketika zaman sekolah rendah.
Guru Bahasa Inggeris, pensyarah Bahasa Inggeris dan profesor Bahasa Inggeris itulah tiga cita-citanya yang ditulis pada ketika itu.
Kini, impian yang tercatat dalam tulisan kanak-kanak itu sedang dihidupkan satu demi satu.
Nurin Erdiani bukan sahaja pernah sebelum ini mengajar sebagai guru Bahasa Inggeris selama hampir sedekad di Universiti Putra Malaysia, malah kini sedang melangkah lebih jauh dengan pengajian PhD dalam bidang TESL.
“Minat saya di dalam bahasa Inggeris ini didorong oleh ayah dan ibu saya sendiri.Sejak saya kecil, mereka menggalakkan saya untuk menjadi tenaga pengajar Bahasa Inggeris apabila sudah besar kelak.
“Saya masih ingat buku bahasa Inggeris yang ibu saya beli kepada saya ketika kecil bertajuk Heidi dan buku ini sangat mahal pada ketika itu.
“Untuk faham membaca buku ini saya akan letak kamus di sebelah,” katanya sambil mengimbau kembali zaman kecilnya.
Setelah, tamat alam persekolahan, Nurin Erdiani mengejar cita-citanya itu dan dia memilih untuk mengambil Bacelor Bahasa Inggeris di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Setelah tamat pengajian dia mendapat tawaran untuk menjadi guru Bahasa Inggeris di Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa di UPM pada 2012.
Pada 2020 dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian sarjana secara separuh masa di universiti sama.
“Keputusan sambung pengajian ini juga dilakukan secara drastik selepas saya berbincang dengan suami di dalam kereta.
“Saya suarakan hasrat untuk sambung pengajian di peringkat PhD, tetapi suami saya berkata jika saya tidak sambung lagi pengajian di peringkat sarjana saya tidak perlu lagi bercakap tentang PhD,” katanya.
Tercabar dengan kata-kata suaminya itu yang mendorong Nurin Erdiani untuk melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang dalam bidang linguistik di UPM.
Pada 2022, dia melihat iklan tentang Hadiah Latihan Persekutuan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (HLP PPPT) yang memberi peluang kepada staf-staf kerajaan untuk melanjutkan pelajaran.
Rezeki ternyata memihak kepada ibu tiga cahaya mata ini apabila dia diterima untuk melanjutkan pengajian PhD di Fakulti Pendidikan, UKM.
Dia juga bersyukur kerana dia mendapat penyelia yang membantunya untuk menyempurnakan pengajiannya di peringkat PhD.
“Penyelia saya Prof. Madya Dr. Harwati Hashim yang juga merupakan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Fakulti Pendidikan UKM dan juga Dr. Nur Ainil Sulaiman begitu banyak membantu dalam perjalanan pengajian saya.
“Mereka banyak memberi idea dan tidak terlalu mengawal untuk apa yang saya ingin lakukan,” jelasnya.
















