Malaysia berdepan masalah kekurangan guru terutamanya dalam mata pelajaran teras atau kritikal sehingga ke hari ini.
Isu kekurangan guru ini bukan sahaja berlaku di kawasan bandar, malah kawasan pedalaman sekali gus boleh menjejaskan kualiti pendidikan dan menyebabkan murid tercicir dalam pembelajaran.
Secara dasarnya, tiada manusia yang mencapai kejayaan di dunia tanpa kehadiran insan bergelar guru yang membentuk karakter dan keperibadian seseorang.
Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP) baru-baru ini berjaya menoktahkan isu berkenaan melalui pelbagai inisiatif dan reformasi.
Menteri Pendidikan, Fadhila Sidek berkata, KPM bukan hanya memastikan isu tersebut dapat diatasi, bahkan menjamin setiap guru yang dilantik adalah berkualiti dan selari dengan keperluan pendidikan semasa.
“Guru-guru yang dihantar bagi mengisi kekosongan adalah guru berkualiti tinggi dan dapat memenuhi keperluan anak-anak didik kita,” katanya dalam Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Ke-15 di Bangi Avenue Convention Centre pada 3 Julai lalu.
Istiadat Konvokesyen IPG yang berlangsung selama empat hari itu meraikan seramai 5,390 graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bagi pengambilan Jun 2021.
Pensyarah Cemerlang Gred Khas C di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ilmu Khas, Norani Abd. Rahim berkata, guru permulaan atau guru novis perlu menjadi peneraju reformasi apabila mereka ditempatkan di sekolah-sekolah tidak lama lagi.
“Kelas yang baik bukan tercipta dengan peraturan tetapi hubungan, harapan serta penghargaan antara guru dan anak didik.
“Kepercayaan anak-anak didik kepada guru amat penting dalam membangunkan karakter. Maka, nyala rasa guru perlu disemai dalam diri semua guru khususnya guru novis.
“Nyala rasa guru merupakan semangat dalaman yang membara dalam jiwa seorang pendidik untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya.
Selain memainkan peranan utama sebagai pemacu motivasi serta inspirasi dalam menjalankan tugas, sikap nyala rasa amatlah penting untuk membina asas yang kukuh dalam profesion perguruan.
“Guru yang mempunyai nyala rasa tidak mudah berputus ada dan sentiasa mencari jalan penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi.
“Dengan nyala rasa, mereka sentiasa mendahulukan kepentingan murid dan memahami bahawa setiap tindakan, perkataan atau keputusan akan memberi impak besar kepada pembangunan sahsiah, emosi dan akademik murid,” jelas beliau.
Tambah beliau, meskipun guru novis belum punya pengalaman besar, namun lima tahun pembelajaran di IPG telah menjadikan mereka tangkas, proaktif dan cekap menangani masalah.
“Guru novis yang diharapkan sentiasa bersedia menerima maklum balas, terbuka kepada kritikan membina dan tidak takut mencuba kaedah baharu.
“Nyala rasa guru akan teruji apabila mereka berdepan cabaran seperti tekanan bebas tugas, kekangan masa dan kerenah murid,” katanya.
Tidak dinafikan bahawa guru perlu mahir dalam menghasilkan pembelajaran yang kondusif serta memartabatkan kualiti pendidikan negara.
Sebagai seorang guru novis, kecintaan terhadap dunia perguruan dan menjalinkan hubungan baik dengan murid dapat diatasi dengan keazaman yang tinggi.
Akhir kata, guru bukanlah tugas, sebaliknya ia adalah amanah yang perlu dilunaskan.














