SIRIH dikenali sebagai tumbuhan yang daunnya sering digunakan dalam perubatan tradisional dan upacara tertentu. Disebabkan tumbuhan menjalar itu jugalah hubungan Mir (bukan nama sebenar) dan isterinya berakhir.
Berkongsi kepada K-Wanita, Mir berkata, biarpun perceraian tersebut sudah lebih sedekad berlalu, namun anak jati Alor Gajah, Melaka itu sedikit pun tidak pernah melupakan apa yang terjadi.
“Kami dinikahkan dalam satu majlis sederhana. Hasil perkahwinan itu, kami dikurniakan tiga orang cahaya mata.
“Isteri saya ketika itu berusia awal 30-an. Dia seorang suri rumah yang banyak membantu menguruskan keperluan anak-anak,” katanya.
Cerita Mir, selepas beberapa tahun bernikah, dia mula perasan isterinya ada satu tabiat yang agak berbeza daripada wanita seusianya iaitu makan sirih.
Akui eksekutif kewangan itu, dia sudah sedia maklum bahawa ibu kepada isterinya seorang bidan kampung yang terkenal.
Ujarnya, ibu mentuanya memang suka makan daun sirih ketika masa lapang, selain digunakan untuk tujuan perubatan tradisional.
“Ketika kami mula-mula kenal sampailah bernikah, isteri memang tidak pernah cakap soal sirih.
“Namun lepas tiga tahun berkahwin dan dikurniakan anak pertama, isteri mula makan sirih dari pagi hingga malam.
“Dia juga tidak pernah minta izin dengan saya atau bercakap mengenainya. Bagi saya, kalau hendak makan sirih tidak ada masalah, cuma janganlah terlalu kerap,” katanya.
Jelas Mir, dia tidak suka isterinya terlalu banyak makan daun hijau tersebut kerana bimbang akan memberi masalah kesihatan, meskipun ada khasiatnya.
Mir ada bercakap dan menasihati isterinya supaya mengurangkan tabiat itu. Namun lain pula jadinya, apabila Mir dipersalahkan dan dicop terlalu moden serta lupa diri.
“Dapur rumah saya penuh dengan daun sirih. Dari mana dia dapat daun itu, saya pun tidak tahu.
“Mungkin dia ada beli dengan pembekal sekitar kedai runcit tempat kami tinggal. Dia juga beli kapur dan buah pinang untuk dimakan bersama daun sirih.
“Sekali tengok, sudah macam rumah seorang dukun dan pengamal perubatan tradisional. Sirih dan buah pinang sana sini,” katanya.
Menurut Mir, paling membuatkan dia marah dan hilang sabar adalah apabila isterinya sudah mula mengabaikan kebajikan anak-anak.
Bukan itu sahaja, kerja-kerja lazim yang dilakukan seperti memasak, mengemas, menyiapkan anak-anak ke sekolah dan tugas lain sebagai suri rumah mula diabaikan oleh isterinya.
“Saya ada tanya, faktor yang menyebabkan dia mula berubah 360 darjah selepas makan sirih.
“Isteri langsung tidak respons, dia cuma beritahu jangan halang dia makan sirih. Saya ada hantar isteri dapatkan rawatan, namun doktor beritahu dia sihat-sihat sahaja.
“Saya syak dia sudah ketagih makan sirih, sampai malas hendak buat kerja rumah.
“Saya juga dapati, dia lebih banyak tidur dan bersantai di rumah,” katanya.
Hampir dua tahun berlalu, isterinya langsung tidak menunjukkan tanda-tanda untuk meninggalkan tabiat makan sirih.
Disebabkan itu, Mir nekad memfailkan cerai di sebuah Mahkamah Syariah di Melaka.
Pengakhiran cerita, Mir dan isterinya sah bercerai atas persetujuan mahkamah. Hak penjagaan anak-anak telah diberikan kepada Mir sepenuhnya.














