HONG KONG – Anggota-anggota bomba Hong Kong menggeledah bangunan-bangunan tinggi yang rentung hari ini untuk mencari lebih 250 orang yang disenaraikan sebagai hilang.
Perkembangan berlaku sehari selepas kebakaran terburuk dalam tempoh beberapa dekad itu melanda Hong Kong, membunuh sekurang-kurangnya 55 orang.
Kebakaran berlaku di kejiranan Wang Fuk Court yang menempatkan lapan blok kediaman tinggi mengandungi 2,000 unit pangsapuri. Api masih kelihatan di beberapa tingkap hari ini ketika anggota bomba menyembur air ke bahagian luar yang hangus.
Pihak berkuasa memulakan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran dahsyat itu, termasuk kehadiran perancah buluh dan jaring plastik yang meliputi struktur bangunan sebagai sebahagian daripada kerja pembinaan.
Badan antirasuah Hong Kong turut melancarkan siasatan terhadap kerja pengubahsuaian di kompleks perumahan itu, beberapa jam selepas polis berkata, pihaknya menahan tiga lelaki disyaki cuai kerana meninggalkan bungkusan mudah terbakar di tapak kebakaran.
Api yang marak di empat daripada lapan blok pangsapuri itu akhirnya dipadamkan dan kebakaran di tiga lagi bagunan berjaya dikawal, kata seorang pegawai bomba petang ini. Satu bangunan tidak terjejas.
Beberapa penduduk Wang Fuk Court yang terletak di daerah Tai Po, utara Hong Kong memberitahu AFP bahawa mereka tidak mendengar penggera kebakaran dan terpaksa pergi pintu ke pintu untuk memberi amaran kepada jiran.
“Api merebak begitu pantas. Menekan loceng pintu, mengetuk pintu, memberi amaran kepada jiran, memberitahu mereka untuk keluar, begitulah keadaannya,” kata seorang lelaki bernama Suen.
Sementara itu, angka korban terus meningkat dengan seorang pegawai bomba memberitahu pemberita bahawa 51 mangsa mati di tempat kejadian, manakala empat lagi meninggal dunia di hospital.
Pihak berkuasa Hong Kong akan segera memeriksa semua kawasan perumahan yang sedang menjalani kerja pengubahsuaian besar berikutan bencana itu, kata pemimpin tempatan, John Lee.
Seorang jurucakap kerajaan memberitahu AFP bahawa 61 orang sedang dirawat di hospital. Seramai 15 berada dalam keadaan kritikal, 27 serius dan 19 lagi stabil.
Lee berkata, seramai 279 orang tidak dapat dikesan, walaupun bomba kemudian memberitahu bahawa sebahagian daripada mereka telah dapat dihubungi. Pihak berkuasa belum mengemas kini angka tersebut.
Menurut Lee, lebih 900 orang mendapatkan perlindungan di tempat perlindungan sementara semalam.
Konsulat Indonesia pula berkata sekitar tengah hari bahawa dua mangsa yang meninggal dunia adalah warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah. – AFP















