LONDON – Penyerang Bayern Munich, Harry Kane menyimpan dendam kerana terlalu kecewa tewas 1-3 kepada Arsenal dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Emirates awal pagi tadi.
Bukan sahaja terlepas tangga teratas UCL kepada Arsenal, ia juga menjadi kekalahan pertama Bayern dalam semua 21 perlawanan musim ini sejak tewas 0-2 kepada Paris Saint-Germain di suku akhir Piala Kelab Dunia 2025.
Kane, 32, langsung tidak panik dengan kekalahan itu kerana percaya mereka akan bertemu semula dengan Arsenal di peringkat kalah mati selepas ini.
“Ia satu perlawanan cukup sukar, tidak seperti apa yang kami jangkakan. Saya boleh katakan pertembungan yang sengit antara kedua-dua pasukan.
“Ini adalah kekalahan pertama kami musim ini. Jadi tidak perlu panik dan terlalu memikirkan mengenainya tetapi sudah tentu kami mempelajari sesuatu daripada kekalahan ini.
“Sudah tentu kami akan bertemu (Arsenal) semula di peringkat seterusnya (UCL). Ketika itu kami akan balas dendam,” kata Kane yang sudah meledak 29 gol dalam semua kejohanan buat Bayern dan England musim ini.
Kane mempunyai rekod cemerlang apabila meledak 14 gol daripada 17 pertemuan dengan Arsenal ketika menyarung jersi Tottenham Hotspur.
Bagaimanapun, kapten England itu ‘diikat’ sepanjang perlawanan oleh Christian Mosquera yang diberikan tanggungjawab selepas bintang pertahanan utama, Gabriel Magalhaes masih mengalami kecederaan. – AGENSI















