SUNGAI PETANI – “Kali akhir bertemu dengan suami pagi tadi sewaktu dia hendak ke sekolah, namun apa yang saya lihat ketika bersalam, dia tidak banyak bercakap seperti selalu,” kata Nor Asnida Mad Daud, 34.
Nor Asnida ialah isteri kepada Mohd. Amirul Awang, 35, yang maut dalam kemalangan jalan raya di hadapan Masjid Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jalan Kuala Ketil berdekatan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, Mohd. Amirul yang merupakan guru sukan sekolah berkenaan selain menjadi jurulatih pasukan ragbi bawah 12 tahun lelaki negeri Kedah maut di lokasi kemalangan akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
Kejadian difahamkan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah pekan Sungai Petani merempuh sebuah Ford Ranger yang tiba-tiba membelok ke kanan di Jalan Kuala Ketil.
Menurut ibu kepada dua anak perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun itu, sebelum suaminya bergerak ke tempat kerjanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Tuan Syed Jan Al-Jaffri di Sungai Layar pagi tadi, dia sempat mengingatkan supaya menghantar minyak masak yang dipesannya selepas selesai persekolahan hari ini.
“Suami saya mengajar sesi pagi manakala saya mengajar sesi petang di Sekolah Kebangsaan Sungai Pasir dan saya memesan dia supaya membeli beberapa peket minyak masak untuk digunakan dalam aktiviti di sekolah saya hari ini.
“Kami berjanji hendak jumpa pukul 3 petang di sekolah saya yang terletak berdekatan kawasan rumah kami di Taman Songket ini, namun saya terkejut apabila dimaklumkan yang dia meninggal dunia dalam kemalangan itu,” katanya semasa ditemui di HSAH di sini hari ini.
Nor Asnida yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu berkata, dia tidak menyangka perubahan sikap suaminya daripada ceria kepada tidak banyak bercakap menjadi petanda dia akan kehilangan seorang suami yang baik, penyayang dan bertanggungjawab buat selama-lamanya.
Mohd. Amirul merupakan jurulatih yang berjaya menjadikan skuad ragbi bawah 12 tahun lelaki Kedah sebagai juara dalam edisi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Selangor tahun ini.
Selain itu, Amirul juga merupakan salah seorang pengasas dan jurulatih Kelab Komuda, iaitu sebuah kelab ragbi di daerah Kuala Muda yang mempunyai pemain bawah 12 tahun yang dipilih dari sekolah di daerah ini untuk menyertai pelbagai liga ragbi tempatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan Ford Ranger berkenaan yang membelok ke kanan untuk membuat pusingan ‘U’ di kawasan itu.
“Disebabkan jarak terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak dan terlanggar bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun,” katanya.
Pemandu kenderaan terbabit ditahan dan permohonan reman akan dimohon esok untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – KOSMO! ONLINE















