HULU LANGAT – Penduduk di Kampung Sungai Serai di sini menyifatkan banjir yang melanda kawasan perumahan mereka tiga hari lalu disifatkan sebagai luar biasa kerana air naik mendadak sehingga ke paras dada.
Lebih memeritkan penduduk memaklumkan kediaman mereka dinaiki air selepas hujan lebat selama dua jam itu.
Seorang penduduk, Nurasyura Nordin, 38, berkata, untuk tahun ini sahaja kampung tersebut sudah dilanda banjir empat kali, namun bah kali ini paling mengejutkan kerana air naik mendadak
“Saya ingat paras air sekadar lutut sahaja seperti banjir-banjir sebelum ini, tetapi dalam dua jam air naik ke paras paha dan tak sampai berapa lama terus naik ke paras dada. Memang tak sangka langsung kali ini seteruk itu,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Misron Selamat, 59, berkata, banjir ibarat ‘acara tahunan’, namun dia tidak pernah menjangka air akan naik paras dada sehingga menyebabkan aset-aset penting yang telah diletakkan di tempat tinggi turut terkesan.
“Kami telah membuat persediaan awal dengan meletakkan peti sejuk dan almari di tempat tinggi tidak banyak membantu kerana kali ini air naik melampaui jangkaan penduduk kampung.
“Selalunya air naik paras buku lali atau lutut. Tapi kali ini memang lain macam sebab air naik sampai paras dada. Kami dah banyak kali suarakan isu ini kepada pihak berkuasa,” katanya.
Suri rumah, Nurhamar Nuralam, 30, berkata, dia berdepan pengalaman mencemaskan apabila rumahnya dimasuki haiwan berbisa selepas banjir surut.
Menurutnya, kediamannya telah empat kali dilanda banjir biarpun baru setahun menetap di situ dengan kali ini dia menanggung kerugian hampir RM2,000 kerana bahagian dapur dan tandas rosak.
“Saya jumpa ular tedung semasa mengemas. Saya ada tiga anak kecil, memang tak larat nak bersihkan semua,” katanya.















