JIKA dihitung, sudah sebulan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza pulang ke tanah air.
Penulis teringat lagi beberapa hari sebelum pulang, isu peperangan di bumi Palestin memonopoli setiap platform media sosial.
Isu tersebut bukan sahaja menjadi bualan umat Islam, tetapi masyarakat lain-lain bangsa.
Tidak keterlaluan dikatakan kisah Gaza menjadi fenomena sehingga kesemua sukarelawan tersebut tiba di tanah air. Perjuangan dan kecekalan mereka membuka mata lebih ramai penduduk dunia mengenai kisah penderitaan rakyat Palestin.
Namun, entah di mana silapnya, hantaran mengenai Palestin semakin sepi dalam media sosial, seperti ditimbus dengan kisah-kisah sensasi selebriti tanah air dan isu semasa lain.
Situasi itu menimbulkan tanggapan bahawa perkongsian mengenai penderitaan dan sokongan terhadap rakyat Gaza seolah-olah bermusim.
Mengambil dari sudut pandang aktivis GSF yang juga penyanyi, Zizi Kirana, cerita mengenai kisah penderitaan Gaza masih terus dilaungkan oleh mereka yang berjuang meskipun hanya dalam media sosial.
Katanya, meski sedar perkara tersebut menimbulkan rasa jemu, namun perjuangan tetap perlu diteruskan bagi memberi tekanan kepada rejim Zionis untuk membebaskan Palestin dari terus dijajah.
“Sebenarnya, kawan-kawan saya (sukarelawan GSF) tidak pernah berhenti untuk mengajak orang ramai bercakap tentang Gaza.
“Saya tahu pasti ada yang penat, tetapi kita perlu ingat terutamanya umat Islam, kita perlu melakukannya kerana akan dipersoal di akhirat kelak. Sentiasa saling ingat mengingati, insya-Allah perkongsian tentang Palestin akan berterusan.
“Kongsilah dalam media sosial walau sekali dalam sehari. Jangan putus asa dan tetap bersemangat sebarkan tentang Palestin,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pemilik nama penuh Nur Fazelah Mad Tahil itu berkata, dia tidak mahu cerita mengenai Palestin hanya sekadar ‘trend’ di media sosial, sebaliknya mahu menjadi rutin wajib setiap hari.
“Saya selalu berpesan dan mengingatkan diri sendiri bahawa isu Gaza ini jangan sesekali jadi bermusim seperti musim durian.
“Sebab itu perlu kongsi sekerap yang mampu. Mereka sudah berpuluh tahun dizalimi, takkan kita hendak berdiam diri dan lihat saudara seagama diseksa,” katanya.
Tambahnya, masyarakat dunia harus ingat isu penderitaan rakyat Gaza bukan ujian untuk rakyat Palestin, sebaliknya kepada kita untuk melihat sejauh mana tahap keprihatinan kita terhadap mereka.
“Kalau mereka yang diuji bertubi-tubi tak pernah henti berdoa, kita yang hidup aman di sini perlu lakukan perkara sama.
“Jangan sesekali jadikan isu Palestin bermusim, terus sebarkan setiap hari melawan Zionis walaupun dalam media sosial,” katanya.















