KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 daripada 33 konsesi lebuh raya di negara ini mencatatkan kerugian akibat kekurangan trafik berdasarkan laporan kewangan tahun lalu, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Jelas Ahmad, antara lebuh raya yang terjejas ialah Maju Expressway (MEX), Lebuh Raya Kuala Lumpur–Karak (KLK), LKSA, Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), serta Senai–Desaru (SDE).
Turut berada dalam senarai rugi ialah Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuh Raya Setiawangsa–Pantai (SPE), Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS), Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), SMART, Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) dan Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).
“Jadi, sesiapa yang mencadangkan pembinaan lebuh raya baharu perlu membuat kiraan dengan tepat. Kalau trafik tidak mencukupi, keuntungan tidak dijamin. Jika tidak menguntungkan, kerajaan mungkin terpaksa menanggung kerugian sekiranya perlu mengambil alih,” katanya menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH–Wangsa Maju) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Maslan turut mengulas mengenai jajaran lebuh raya dari Tol Bandar Baharu ke Sungai Petani yang masih belum dilaksanakan.
Beliau berkata projek naik taraf itu sudah dikemukakan, namun tidak diluluskan kerana keutamaannya rendah berbanding projek lain.
“Lebuh raya ini sebahagian cadangan Northern Corridor Highway (NCH). Projek asal dicadang dari Taiping ke Bukit Kayu Hitam, tetapi tidak berdaya maju.
“Oleh itu, UKAS mencadangkan jajaran Taiping–Sungai Petani. Setakat ini ia masih dalam proses permohonan cadangan (RFP). Belum dibuka, belum ditutup, kita sedang menunggu,” katanya.
Menurut beliau, sebelum ini RFP untuk jajaran Bukit Kayu Hitam tidak menerima sebarang permohonan, menyebabkan jajaran dipendekkan ke laluan yang lebih berdaya maju seperti Taiping–Sungai Petani.-KOSMO! ONLINE.















