fbpx
Mohd. Sakhri (dua dari kiri) beramah-mesra dengan salah seorang peniaga sewaktu merasmikan program Pasar Patuh di Pasar Bukit Payung di sini hari ini.

Musim tengkujuh: Peruncit, pemborong boleh simpan lebihan 30% barangan kawalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melantik 153 peruncit terpilih daerah (DDR) dan 77 pemborong terpilih daerah (DDW) di seluruh Terengganu bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas di negeri tersebut kekal stabil sepanjang musim banjir ini.

Timbalan Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Sakhri Mohd. Salleh berkata, setiap DDR dan DDW berkenaan dibenar menyimpan lebihan 30 peratus barangan kawalan berjadual pada musim tengkujuh ini.

“Kebenaran itu bertujuan memastikan tiada gangguan bekalan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan tepung gandum sewaktu tempoh bencana ini. Kita mahu barangan keperluan asas tersebut sentiasa mencukupi dan mudah diperoleh pengguna sepanjang tempoh Monsun Timur Laut ini,” katanya sewaktu merasmikan program Pasar Patuhdi Pasar Bukit Payung di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Sakhri menasihatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berhasrat mengadakan misi bantuan banjir agar tidak membeli barangan sumbangan dengan peruncit di kawasan terjejas banjir.

Beliau berkata, ia bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan asas di kawasan terjejas banjir terputus akibat dibeli NGO misi bantuan terbabit.

“Sebaliknya saya menasihatkan agar barangan yang mahu disumbangkan kepada mangsa banjir berkenaan dibeli di tempat lain yang tidak terjejas banjir atau pemborong,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Sakhri berkata, KPDN negeri juga telah membuka bilik gerakan yang diaktifkan sehingga pukul 10 malam setiap hari bagi memantau dan mengurus sebarang isu berkaitan bekalan semasa sehingga MTL berakhir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN