SHAH ALAM – Hakim Mahkamah Tinggi Syariah hari ini memberikan peringatan keras kepada seorang kaunselor eHati agar tidak sesekali membuatkan Islam dipandang hina oleh masyarakat umum.
Hakim Syarie Dr. Zainal Abidin Kusmin berkata, seorang penganut agama Islam sewajarnya menjadi duta kepada agama berkenaan dan menunjukkan sikap yang baik sebagai teladan kepada orang bukan beragama Islam.
“Islam itu sebagai ‘pakaian’ dan cara hidup kamu. Bukan secara zahir tetapi pelindung kamu. Walaupun anda sakit (masalah rumah tangga dan emosi). Namun, perhitungkan halal dan haram. Jangan dilanggar sahaja. Kamu aibkan diri sendiri,” tegasnya sebelum menjatuhi denda RM4,000 kepada Siti Zaama Rizal Bos, 49.
Terdahulu, Siti Zaama mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan mendedahkan anggota badannya yang dilarang hukum syarak sehingga boleh dilihat orang lain di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) antara pukul 8 malam hingga 12 tengah malam, 29 September tahun lalu.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 10 (a) Enakmen jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.
Siti Zaama yang tidak wakili peguam kemudiannya merayu dalam keadaan menangis teresak-esak memohon denda dikurangkan kepada RM500 sahaja disebabkan tidak bekerja.
“Suami saya juga tidak bekerja. Apa yang saya buat adalah pilihan sendiri bagi membuang rasa malu seterusnya meningkatkan keyakinan diri.
“Saya mempunyai masalah rumah tangga selain menanggung trauma yang banyak secara sendirian. Mohon tidak dikenakan penjara. Saya meminta maaf apa yang berlaku dan menjadikannya sebagai pengajaran,” katanya.
Pendakwa Syarie Husaini Roslin menegaskan matlamat tidak menghalalkan cara walaupun program ini pada asalnya bagi memberikan peluang kepada pasangan suami isteri memperbaiki masalah rumah tangga mereka.
“Niat baik tidak boleh disusuli tindakan bertentangan dengan Islam. Hatta kalau ada isu trauma atau kesihatan mental, sebenarnya ada jalan lagi baik untuk tertuduh.
“Isu aurat perlu diperhalusi tertuduh. Kaedah yang digunakan tidak kena dengan Islam,” ujarnya.
Dalam pada itu, dua lagi kaunselor iaitu Munira Hishamshah, 37 dan Bushra Mohd. Zaki, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama dengan perbuatan dilakukan antara pukul 2.30 hingga 6.30 petang, 30 September tahun lalu di lokasi sama.
Munira diwakili Peguam Syarie Mazli Abdul Muin manakala Peguam Syarie Yusfa Hanis Yusoff mewakili Bushra.
Kedua-dua tertuduh masing-masing dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula 5 Mac tahun depan. – KOSMO! ONLINE














