fbpx
GAMBAR fail logo HP di ibu pejabat syarikat itu di Palo Alto, California. - AFP

HP bakal berhentikan 10 peratus pekerja seluruh dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Syarikat pembuat komputer dan pencetak, HP akan mengurangkan kira-kira 10 peratus tenaga kerjanya di seluruh dunia ketika syarikat itu beralih kepada teknologi kepintaran buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan.

Menurut laporan pendapatan terbaharunya, gergasi teknologi itu menjangkakan untuk mengurangkan jumlah pekerja global antara 4,000 hingga 6,000 orang bagi memberi tumpuan kepada penggunaan AI untuk meningkatkan inovasi dan kepuasan pelanggan.

Langkah HP itu mencerminkan trend lebih luas dalam sektor teknologi, di mana syarikat-syarikat membuat pelaburan besar dalam pembangunan AI sambil menggunakan teknologi tersebut untuk mengurangkan kos operasi.

Firma teknologi utama termasuk Google, Microsoft dan Amazon telah mengumumkan pengurangan tenaga kerja dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, dengan menyatakan keperluan untuk mengagihkan semula sumber termasuk pekerjaan ke arah penggunaan AI.

Penganalisis industri berkata, automasi AI memberi kesan khususnya kepada peranan seperti sokongan pelanggan, penyederhanaan kandungan, kemasukan data dan beberapa tugas pengaturcaraan komputer tertentu.

Menurut HP, pelan AI menyasarkan untuk menjana kira-kira AS$1 bilion (RM4.13 bilion) dalam penjimatan tahunan menjelang akhir tahun fiskal 2028.

Syarikat itu telah berusaha mengubah model perniagaannya di tengah-tengah perubahan corak permintaan dalam pasaran komputer peribadi dan pencetak.

Ketua Pegawai Eksekutif HP, Enrique Lores memberitahu akhbar Wall Street Journal bahawa pihaknya merancang untuk menaikkan harga komputer dan bekerjasama dengan pembekal baharu bagi membantu menampung kos lebih tinggi bagi pengkomputeran AI.

Dalam suku terbarunya, HP mencatat keuntungan sebanyak AS$795 juta (RM3.3 bilion) berbanding AS$906 juta (RM3.7 bilion) pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Hasil meningkat 4.2 peratus kepada AS$14.64 bilion (RM60 bilion) mengatasi anggaran penganalisis dengan jualan komputer peribadi mengimbangi penurunan dalam jualan pencetak. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN