PETALING JAYA – Seorang wakil mangsa penipuan pelaburan emas mendakwa mengalami kerugian besar berjumlah RM100,000 akibat diperdaya skim tidak wujud.
Mangsa yang enggan dikenali berasal dari Kedah berkata, dirinya terpengaruh menyertai pelaburan emas itu selepas diperkenalkan oleh seorang rakan pada tahun 2023, dan menyertainya atas kerelaan sendiri tanpa sebarang paksaan.
Namun, tidak lama kemudian, beliau menyedari skim itu hanyalah penipuan sehingga menyebabkan dirinya rugi besar.
“Tiada siapa paksa, saya masuk dengan rela hati. Tapi nasib saya tidak baik. Tak lama selepas masuk, baru saya sedar saya ditipu,” katanya dalam perkongsian video di Facebook Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini.
Mangsa berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat memberi perhatian khusus terhadap kes ini agar lebih ramai rakyat tidak terus ditipu pelaburan yang sama.
“Saya membuat laporan polis pada 14 Februari 2024 di IPD Kuala Muda, Sungai Petani memohon siasatan dipercepatkan dan pertuduhan terhadap pihak terlibat dapat dibawa ke mahkamah tanpa kelewatan.
“Saya mewakili mangsa ingin meminta PDRM membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Saya sudah buat laporan, dan saya mohon siasatan dipertingkatkan supaya individu ini segera didakwa,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim mendesak PDRM mengambil tindakan segera terhadap individu yang dikehendaki berhubung kes penipuan pelaburan saham dan emas membabitkan kerugian lebih RM25 juta.
Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada 112 mangsa yang ditipu melalui dua skim pelaburan, iaitu pelaburan saham RPS/i-RPS dan satu program pelaburan emas, masing-masing dijalankan oleh dua syarikat berbeza. – KOSMO! ONLINE















