MELAKA – Sepasang kekasih yang dipercayai mengambil upah membakar dan menyimbah cat ke atas kediaman dan kenderaan bagi pihak yang mahu membalas dendam atau arahan along diberkas polis kelmarin.
Pasangan berusia 26 dan 36 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada pukul 8.30 malam di Kajang dan Serdang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek dikesan selepas satu laporan polis dibuat mangsa membabitkan kenderaan jenis Proton X50 yang dibakar di lorong Laksamana, Bukit Cina pada 11 November lalu.
Katanya, semakan ke atas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku pukul 1.45 hingga 1.50 pagi, apabila suspek dilihat berlegar-legar dengan kereta Hyundai Sonata sebelum membaling objek yang dinyalakan api ke halaman rumah mangsa.
“Perbuatan suspek itu menyebabkan Proton X50 terbakar. Bertindak atas maklumat, kita berjaya kesan dan memberkas suspek. Dengan ini, pasukan D7 IPD Melaka Tengah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes khianat api dan satu kes simbah cat di daerah ini sejak Julai hingga November ini,” ujarnya kepada pemberita, hari ini.
Katanya, hasil soal siasat, suspek dipercayai mengambil upah daripada individu yang mahu membalas dendam dan along dengan bayaran mencecah RM1,500.
“Untuk bakar kediaman atau kenderaan, upah diterima antara RM1,000 dan RM1,500, manakala tugasan menyimbah cat pula RM300 hingga RM500.
“Suspek lelaki disyaki mengambil upah ini sejak tiga bulan lepas. Dia baru berhenti kerja sebagai pemandu di kedai barangan elektrik yang juga tempat kekasihnya bekerja,” ujarnya.
Christopher berkata, suspek lelaki direman selama tujuh hari, manakala teman wanitanya direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE















