PETALING JAYA – Harga minyak sawit mentah (CPO) berpotensi naik sekitar 10 peratus dalam tempoh jangka pendek kepada paras harga berlegar antara RM4,100 hingga RM4,500 pada separuh pertama tahun depan, berdasarkan kontrak bulan ketiga di Bursa Derivatif Malaysia.
Naib Presiden Kanan dan Strategis Pasaran, Nik Ihsan Raja Abdullah Berjaya Mutual Berhad berkata, beberapa pemangkin pasaran dijangka muncul pada suku pertama tahun
depan, namun pengukuhan ringgit boleh menyebabkan harga minyak sawit menjadi lebih mahal dan memberi tekanan kepada daya saing eksportnya.
“Trend ini menunjukkan potensi kenaikan, kali terakhir dolar Amerika Syarikat (AS) melemah adalah pada Oktober 2024, tetapi tempohnya dijangkakan hanya sekejap,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah berjudul, “Satu Pandangan
Berstruktur dan Teknikal: Trend Harga Minyak Sawit dan Kitaran Pasaran Komoditi pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2025 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Selain itu, Nik Ihsan menerangkan, minyak komoditi utama negara itu dijangka mencatat kenaikan awal tahun depan dipacu oleh aliran keluar modal global daripada ekuiti ke pasaran komoditi berikutan kelemahan dolar AS.
Menurut beliau, corak pergerakan pasaran menunjukkan wujudnya aset penggiliran apabila pelabur beralih daripada saham global kepada komoditi, termasuk komoditi ladang.
“Kelemahan dolar AS turut mempengaruhi harga minyak sayuran dan membuka
ruang kenaikan harga minyak sawit, jadi minyak sawit berpeluang membuat kenaikan pada awal tahun depan.
“Ketika ini harga terkumpul sekitar RM4,000 dan lima tahun lalu corak sama berlaku apabila
dolar AS melemah,” jelasnya.
Sementara itu, dalam sesi temubual lain pada majlis yang sama, masyarakat mampu memainkan peranan lebih besar dalam mempromosi minyak sawit negara dengan menonjolkan penggunaan serta kelebihannya dalam pelbagai produk makanan dan kegunaan harian, terutamanya keluaran syarikat-syarikat barat yang selama ini menjadi pilihan pengguna.
Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie Berhad Malaysia, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, minyak sawit tempatan sudah pun menjadi bahan utama dalam produk global menunjukkan betapa pentingnya komoditi itu kepada rantaian makanan dan barangan pengguna dunia.

Menurut beliau, minyak sawit digunakan secara meluas dalam produk popular seperti ayam goreng, minuman coklat, snek, coklat, selain produk penjagaan diri termasuk syampu dan ubat gigi keluaran syarikat barat.
“Bayangkan apa jadi kalau tiada minyak sawit? Mungkin produk-produk itu tidak sebaik sekarang. Jika masyarakat kerap memaklumkan dan menonjolkan kelebihan minyak sawit di media sosial, sudah pasti lebih banyak persepsi antisawit oleh negara-negara Barat dapat ditangani,” katanya.
Mohd Haris mengakui bahawa pemain industri sukar memberi impak besar kepada masyarakat jika hanya bergantung kepada usaha mereka sendiri untuk menjelaskan manfaat dan kemampanan minyak sawit.
“Untuk memenangi hati pengguna, umum kena sokong minyak sawit kita yang kosnya lebih rendah dan lebih mampan berbanding minyak soya, contohnya. Jika kami sahaja yang bercerita, mungkin impaknya kurang meyakinkan,” jelasnya.
Katanya, sokongan masyarakat lebih berkesan dalam membina keyakinan global terhadap minyak sawit Malaysia, berbanding naratif yang digerakkan oleh industri sahaja. -KOSMO! ONLINE















