PENGENDALI interim Selangor FC, Christophe Gamel menyeru jentera serangan mempamerkan taring sebenar menjelang aksi Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang Bangkok United di Stadium BG, Pathum Thani malam ini.
Sebagai rekod, perlawanan menentang kelab berpengaruh Liga Thailand itu boleh dianggap sebagai aksi pelengkap jadual buat skuad Gergasi Merah selepas tewas empat perlawanan berturut-turut dalam peringkat kumpulan sebelum ini.
Menurut Gamel, pasukan kembali memiliki motivasi terbaik selepas berjaya menang ke atas Kelantan The Real Warrior (TRW) dalam aksi domestik minggu lalu dan mahu momentum sama diteruskan nanti.
“Saya rasa jentera serangan masih perlu diperbaiki kerana banyak peluang yang disia-siakan pada perlawanan yang lepas.
“Namun, saya tetap optimis kerana kita kekal mencipta peluang walaupun bukan mudah untuk terjemahkan sebagai jaringan gol. Saya percaya pemain boleh terus bekerja keras selepas ini,” kata pengendali import dari Perancis itu.
Sementara itu, pengendali Bangkok United, Totchtawan Sripan mengakui terdesak untuk meraih tiga mata sekali gus mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati kejohanan kedua berprestij Asia itu.
“Kita turut berada pada prestasi terbaik selepas menang 4-1 ke atas Prachuap sebelum ini. Keputusan ini menyuntik semangat pemain untuk terus melakar kemenangan ke atas Selangor dalam aksi ACL2.
“Saya harap kelebihan beraksi di laman sendiri dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan mahu peminat hadir untuk terus berada di belakang pasukan,” katanya.
Satu lagi perlawanan Kumpulan G bakal melibatkan pertembungan kelab Indonesia, Persib Bandung menentang Lion City Sailors di Stadium Bishan, Singapura malam ini. – KOSMO! ONLINE















