PETALING JAYA – Sekumpulan rakyat Malaysia sanggup bersesak menaiki lori menuju ke sempadan berikutan paras air yang masih tinggi ketika ini di kebanyakan lokasi sekitar Hatyai, Thailand.
Menerusi perkongsian Mohd. Amir Faizal di Facebook, dia bersama beberapa sukarelawan dan pihak berkuasa tempatan kini dalam misi membantu rakyat Malaysia keluar dari kawasan terjejas.
Katanya, keadaan di kawasan Amazon Tonglong digambarkan sangat kritikal dan mangsa terpaksa bergantung kepada kenderaan berat untuk keluar kerana laluan biasa sudah tidak lagi boleh dilalui.
“Perkembangan semalam pukul 1 pagi bawa separuh daripada mangsa yang berada di Amazon Tonglong balik, semua keletihan,” katanya.
Dalam video itu, kebanyakan mangsa termasuk kanak-kanak kelihatan kepenatan setelah berhari-hari menunggu bantuan selain terpaksa berhimpit di dalam lori untuk merentas kawasan yang dinaiki air
“Doakan kami dan warga Malaysia yang berada di Hatyai dan masih terperangkap selamat. Tak tahu nak kata apa sebab kawasan ini telah dinyatakan kawasan darurat,” ujarnya.
Mohd. Amir memaklumkan, kumpulan sukarelawan itu hanya sempat tidur selama sejam sebelum bersiap meneruskan misi menyelamat ke Hatyai awal pagi ini. – KOSMO! ONLINE














