PETALING JAYA – “Apa perasaan jadi anak ‘tak terpilih’. Pernah aku keluar dengan adik-beradik aku, tiba-tiba ternampak ada kumpulan WhatsApp dalam telefon kakak aku, ‘Anak-anak mami’.”
Itu persoalan seorang wanita mengenai layanan yang diterima daripada ahli keluarga sendiri sehingga membuatkan dirinya berkecil hati.
Wanita itu menerusi profil @Farrawrh.mohd di media sosial berkata, perasaannya ketika itu berkecamuk selepas mengetahui hanya dia yang dikecualikan daripada kumpulan WhatsApp tersebut.
“Semua adik-beradik tiga orang ada dalam tu kecuali aku saja yang tiada. Tak tahu nak sedih ke, terkilan ke nak ‘blur’. Walhal kalau masa perlu bantuan, aku anak pertama yang dimesej.
“Tapi tak apa aku akan ‘break the cycle’ ( memutuskan kitaran) tu. Anak-anak aku akan dapat kasih sayang dan layanan sama rata ja semua. Tak ada konsep terpaling sayang atau anak emas,” ujarnya.
Perkongsiannya itu mengundang pelbagai respons orang ramai, malah ada yang turut berkongsi pengalaman serupa.
“Lagi sedih pergi makan-makan tak ajak kita. Kakak sulung terpinggir, bila susah baru cari kita,” kongsi @Cikbunga.
“Sama. Mak aku ada grup lain dengan adik-beradik aku yang empat orang tu, aku ja tak termasuk. Kita orang lima beradik ya, tapi kalau susah cari aku dulu,” kata @Nanami.
“Ini salah satu sebab kenapa saya tak nak anak ramai. Saya takut saya tak adil,” luah @N.syahira. – KOSMO! ONLINE















