KUANTAN – Satu inisiatif latihan keusahawanan intensif dikenali ‘Aokmer Usahawan’ berjaya dianjurkan selama tiga hari bermula 18 November dengan dihadiri kira-kira 40 pemilik perniagaan kecil dari kawasan lepar.
Bengkel anjuran bersama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar dan Yayasan Pahang itu menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Methods, Zulkifli Ahmad, sebagai jurulatih utama serta turut disertai penceramah jemputan dari Tekun Nasional dan Pasar Sera.
Pengasas Bersama Pasar Sera, Nadia Rustham turut hadir berkongsi ilmu mengenai konsep pasaran kreatif, jangkaan komersial daripada pasaran kreatif terhadap vendor dan bagaimana proses tersebut dapat membantu kedudukan jenama dalam pasaran negeri Pahang.
Penyelaras DUN Lepar, Mustaqim Zakaria, berkata program tersebut memberi penekanan khusus terhadap penjenamaan, pemasaran digital, dan strategi penembusan pasaran.
Katanya, hasil daripada program itu menyaksikan seramai 10 vendor terpilih daripada Lepar diberikan peluang mempamerkan jenama dan produk mereka di acara Pasar Sera akan datang bertempat di Taman Tasik Paya Besar pada 28 hingga 30 November depan.
“Kami berharap latihan dan pendedahan yang diberikan ini akan memperkasakan perniagaan mereka untuk menjadi sebuah jenama yang kukuh bertapak di hati dan minda penduduk Pahang,”katanya
Sementara itu, Pemangku Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Pahang, Nur Fadhlin Jazilah Johan berkata, dia amat tersentuh dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh para usahawan kecil dari Lepar itu.
“Ada peserta yang sanggup menutup perniagaan mereka selama tiga hari semata-mata untuk menghadiri Aokmer Usahawan.
“Ini adalah demi menimba ilmu dan merebut peluang untuk ditempatkan sebagai vendor Pasar Sera,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE















