PETALING JAYA – Penduduk di Lembah Klang mengambil langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan air di Sungai Klang secara mendadak susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata orang ramai meluahkan kebimbangan dan berwaspada sekiranya air Sungai Klang melimpah dan menyebabkan banjir di kawasan rendah.
Antara kawasan tumpuan adalah di sekitar ibu negara, Puchong dan Shah Alam.
Seorang pengguna berkata, siren amaran dibunyikan dan orang ramai dinasihatkan supaya mengelak dari memasuki kawasan pusat bandar.
“Sungai Klang sudah bunyi siren, elakkan masuk Kuala Lumpur. Ada potensi banjir,” katanya.
Seorang pengguna media sosial dikenali Asnin berkata, beberapa laluan di Kampung Sebelah dan Kampung Sri Aman, Puchong sudah dinaiki air ekoran limpahan air dari Sungai Klang.
“Rumah akak kawasan tinggi, tapi bila air naik, kami jadi pulau dan terkepung dari semua arah. Aliran air dari Taman Mas hingga Sri Muda. Kalau semua lokasi mula naik air, maksudnya kami pun dah kena bersedia untuk pindah,” katanya. – KOSMO! ONLINE















