fbpx
GAMBAR bandar Shwe Kokko di daerah Myawaddy, negeri Kayin, Myanmar dilihat dari daerah Mae Sok dalam wilayah Tak pada 1 Februari lalu. – AFP 

Tentera Myanmar tangkap hampir 1,600 rakyat asing di pusat ‘scam’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NAYPYIDAW – Junta tentera menahan hampir 1,600 rakyat asing dalam tempoh lima hari tindakan keras dilaksanakan ke atas hab penipuan internet  di sempadan Myanmar dengan Thailand.

Kompleks-kompleks penipuan (scam) berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar yang dilanda perang saudara dan menempatkan penipu-penipu (scammer).

Mereka menyasarkan pengguna internet dengan penipuan percintaan (love scam) dan perniagaan, menyebabkan kerugian berjumlah puluhan bilion dolar setiap tahun.

Pakar-pakar berkata, junta telah lama dituduh menutup mata ke atas industri haram tersebut tetapi menguar-uarkan tindakan keras sejak Februari lalu selepas menerima tekanan daripada penyokong utamanya, China.

Serbuan tambahan yang bermula bulan lepas dikatakan bertujuan melegakan tekanan dari Beijing tanpa terlalu menjejaskan keuntungan daripada aktiviti penipuan yang memperkayakan militia-militia sekutu junta.

Dalam perangkaan terbaru yang disiarkan, junta berkata, seramai 1,590 warga asing yang memasuki Myanmar secara haram ditahan dari 18 hingga 22 November 2025 dalam serbuan ke atas hab perjudian dan penipuan Shwe Kokko, demikian menurut media kerajaan The Global New Light of Myanmar.

“Selain itu, pihak berkuasa merampas 2,893 komputer, 21,750 telefon bimbit, 101 penerima satelit Starlink, 21 peralatan penghala dan sejumlah besar bahan industri yang digunakan dalam aktiviti penipuan dan perjudian online,” kata akhbar itu.

Siasatan AFP bulan lepas mendedahkan bahawa cakera penerima perkhidmatan internet satelit mudah alih Starlink dipasang secara besar-besaran di kompleks-kompleks  penipuan di sempadan Myanmar.

Syarikat Starlink milik Elon Musk itu berkata, pihaknya telah melumpuhkan lebih 2,500 peranti Starlink di sekitar pusat penipuan Myanmar yang disyaki.

Menurut The Global New Light of Myanmar pula, seramai  223 orang yang dituduh melakukan penipuan dalam talian dan perjudian di Shwe Kokko ditahan semalam termasuk 100 warga China.

Mangsa penipuan di Asia Tenggara dan Asia Timur sahaja merekodkan kerugian mencecah AS$37 bilion (RM154 bilion) pada tahun 2023, demikian menurut laporan PBB, yang mengatakan bahawa kerugian global berkemungkinan ‘jauh lebih besar’. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI