LIVERPOOL – Pengurus Nottingham Forest, Sean Dyche memuji barisan pemainnya selepas melakar kejutan menewaskan juara bertahan, Liverpool 3-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam kelmarin.
Masing-masing satu gol menerusi Murillo, Nicolo Savona dan Morgan Gibbs-White memastikan Forest meraih tiga mata penting selain membawa pasukan itu keluar dari zon penyingkiran.
Dyche berkata, semua pemain melaksanakan tugas dengan cukup baik selain menunjukkan semangat juang cukup tinggi walaupun terpaksa berdepan puluhan ribu penyokong The Reds di laman keramat mereka itu.
“Saya sangat gembira untuk pemain-pemain Forest kerana mereka sudah mengharungi tempoh cukup mencabar. Hari ini (kelmarin) mereka berdepan salah satu pasukan terbaik di dunia dan ia memerlukan kerja keras.
“Saya sentiasa beritahu pemain bahawa jurulatih hanya mampu memberikan arahan dan hanya mereka yang melakukan kerja di atas padang. Bagi saya, ini bukanlah satu kemenangan nasib kerana kami memberikan sepenuh komitmen,” katanya.
Sementara itu, beliau juga gembira dengan kekebalan benteng pertahanan yang berjaya merantai pergerakan jentera serangan Liverpool selain menghalang mereka daripada melakukan percubaan berbahaya.
“Memang saya tahu kami tidak boleh mendominasi permainan di sini, jadi kami menerapkan strategi untuk mengutip tiga mata. Pertahanan juga cukup baik menerusi halangan-halangan yang dibuat,” ujar Dyche. – AGENSI















