fbpx
SIAPA sangka sebuah rumah PPR mampu kelihatan mewah sebegini menerusi konsep moden minimalis.

Rumah PPR berubah bagaikan hotel mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik ruang yang terhad, semakin ramai penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini memilih gaya moden minimalis sebagai identiti kediaman mereka.

Trend ini bukan sahaja menjadikan rumah kelihatan lebih kemas dan luas, malah juga menonjolkan rasa tenang dan praktikal, sesuai untuk keluarga kecil yang mahukan kediaman ringkas tanpa sarat dekorasi.

Walaupun unit PPR kebiasaannya mempunyai keluasan antara 55 hingga 65 meter persegi, gaya minimalis membuktikan bahawa ruang kecil bukan halangan untuk menghasilkan rumah yang selesa dan sedap mata memandang.

Bagi Nurulhuda Abdullah, menerusi pemilihan warna asli, perabot ringkas serta penggunaan cahaya semula jadi, kediaman kecil milik wanita berusia 50-an itu mampu berubah menjadi ruang yang terasa lapang dan moden.

Berkongsi dengan CitaRasa, wanita yang mesra disapa Nurul itu memberitahu dia dan suami, Shaharuddin Saa’dun yang berusia 60-an amat menyukai konsep kediaman yang ‘sedap mata memandang’.

“Kami suka moden minimalis dan barang-barang hiasan di rumah ini mengikut cita rasa kami berdua.

TARIKAN utama pada kediaman Nurul adalah ruang bilik air yang memukau bak sebuah bilik air hotel.

“Kebanyakan barangan hiasan juga dibeli dari pelbagai gedung hiasan rumah seperti SSF, Ikea, Uju, Kaison dan Objet yang kita sedia maklum mempunyai seleksi barangan dengan harga yang berpatutan,” katanya membuka bicara.

Ujar pekerja sebuah syarikat swasta di ibu kota itu lagi, kediaman yang terletak di Kg. Muhibbah, Puchong itu dihuni sejak 2007. Begitu pun, ia sebelum ini disewa dengan bayaran bulanan RM124 sebulan, sebelum akhirnya Nurul berjaya membelinya pada harga sekitar RM35,000 seperti ditawarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kira-kira dua tahun lalu.

Perpaduan rona putih dan kelabu lembut melatari kediaman, menyerlah konsep moden minimalis yang ditampilkan.

Nurul berkata, dia banyak mengambil inspirasi menghias rumah daripada laman Pinterest dan apabila ada waktu terluang, dia juga akan mengunjungi ekspo hiasan rumah bagi mendapatkan idea untuk diterjemah ke kediamannya.

Berkongsi tentang pemilihan warna pada kediaman, Nurul berkata, dia dan suami memilih warna putih kerana selain amat menyukai rona itu, putih juga menjadikan ruang yang terhad tampak lebih bersih dan luas.

Tarikan utama pada kediaman Nurul adalah ruang bilik air yang memukau bak sebuah bilik air hotel. Kongsi Nurul, bilik air tersebut pada asalnya adalah dua buah bilik air yang dipecahkan menjadi satu.

Hasilnya, bilik air kediaman nampak lebih besar dan selesa, menyerlah dalam dekorasi moden.

“Bagi saya, pemilihan jubin bilik air juga amat penting bagi menjadikan ia nampak lebih menarik,” katanya.

Tidak lokek berkongsi, Nurul memberitahu bahawa dia menghabiskan sekitar RM70,000 untuk mengubah suai kediamannya itu dengan konsep pilihan.

RUANG dapur juga menjadi ruang yang paling disukai Nurul.

“Kos ini merangkumi kerja-kerja renovasi lima tahun lalu serta penambahbaikan yang dilakukan baru-baru ini, semuanya saya hitungkan sebagai satu jumlah keseluruhan,” katanya.

Akui Nurul, dia amat menyukai hasil akhir kediaman tersebut serta menyifatkan ruang dapur menjadi ruang paling disukainya memandangkan dia paling banyak menghabiskan masa di sudut itu.

Mengulas tentang penambahbaikan yang mahu dibuat kelak, Nurul memberitahu disebabkan kediamannya itu adalah sebuah rumah flat, maka tidak banyak penambahbaikan yang boleh dibuat, dek kerana ruangnya yang terhad.

“Memandangkan kediaman ini ialah unit flat, tidak banyak ruang atau struktur tambahan yang boleh dilakukan.

“Namun, penambahbaikan kecil masih boleh dibuat, seperti menukar cat dinding, langsir, jubin baharu, menyusun semula perabot atau menaik taraf televisyen untuk memberikan sedikit kelainan pada suasana rumah.

“Jika ada rezeki lebih, saya juga berhasrat menukar beberapa pintu di rumah ini sebagai sebahagian daripada impian jangka panjang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN