REMBAU – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan laporan kes runtuhan struktur binaan di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) mengambil masa dua minggu untuk dilengkapkan.
Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, dapatan laporan tersebut akan menentukan punca sebenar insiden tersebut berlaku dan tindakan selanjutnya membabitkan peruntukan undang-undang sedia ada akan dirujuk.
“Pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah turun padang menyiasat perkara tersebut dan antara perkara utama yang akan diteliti ialah dari aspek teknikalnya ataupun adakah kerana tidak mengikut skop dan sebagainya.
“Selain itu, kita akan meneliti faktor kecuaian atau tidak, kecuaian dalam konteks tenaga pekerja yang terlibat ataupun teknologi yang digunakan. Oleh itu, banyak pihak yang dilibatkan dalam laporan ini termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya pada Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani kementerian berkenaan di Sekolah Kebangsaan Chembong, di sini, hari ini.
Selasa lalu, seorang wanita nyaris maut selepas keretanya dipercayai dihempap runtuhan binaan projek ECRL dalam kejadian di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Batu Caves. – KOSMO! ONLINE














