NEW YORK – Pembeli misteri mangkuk tandas emas tulen yang dilelong pada harga AS$12.1 juta (RM50 juta) dalam lelongan seni kontemporari di New York merupakan syarikat hiburan Ripley’s Believe It or Not!, lapor portal berita Daily Star.
Tandas emas itu menjadi karya paling mahal dalam koleksi barangan pelik dan luar biasa yang di lelong firma Sotheby’s pada Selasa lalu.
Syarikat hiburan yang mengendalikan pelbagai tarikan di seluruh dunia termasuk muzium, akuarium dan lorong cermin merupakan pembida tunggal kelengkapan bilik air yang luar biasa itu.
Karya seni berjudul America itu hasil kerja tangan warga Itali, Maurizio Cattelan pada tahun 2016.
Ia dibina daripada 101.2 kilogram emas 18 karat menjadi tandas berfungsi lengkap dengan sambungan paip.
Mengikut pasaran semasa, nilai emas itu sahaja dianggarkan sekitar AS$10 juta (RM41 juta), demikian menurut jurucakap Ripley’s, Suzanne Smagala-Potts.
Salah satu karya itu menjadi terkenal apabila dicuri dari Istana Blenheim di Oxfordshire, Britain semasa pameran pada 2019.
Dua lelaki kemudian didapati bersalah dan dihukum penjara kerana mencuri tandas tersebut.- AGENSI















