PETALING JAYA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini memperlihatkan sentimen bercampur dalam kalangan pengundi antara keinginan untuk perubahan dan kecenderungan mengekalkan kerajaan sedia ada.
Penyelidik Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Rizal Zamani Idris berkata, pemerhatian di lapangan antaranya menunjukkan wujud keresahan terhadap isu-isu asas.
Kata beliau, rasa tidak puas hati terhadap isu asas seperti kos sara hidup, air dan elektrik mendorong sebahagian pengundi mahukan pembaharuan serta kepimpinan yang lebih responsif.
“Pada masa sama, wujud sentimen kuat untuk mengekalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berasaskan hujah kestabilan, kesinambungan pembangunan dan kebimbangan terhadap risiko ketidaktentuan politik jika berlaku perubahan drastik.
“Dengan bilangan pengundi belum pasti yang masih besar, dinamik ini mewujudkan landskap yang seimbang. Rakyat tidak semestinya mahukan perubahan total, tetapi mereka mahukan kerajaan yang stabil, berprestasi dan lebih berakauntabiliti dalam pengurusan negeri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ujar beliau, GRS yang turut disokong Pakatan Harapan (PH) memasuki PRN Sabah dengan kedudukan kukuh sebagai kerajaan penyandang yang memberikan mereka kelebihan dari segi akses kepada jentera, logistik serta rangkaian akar umbi.
Menurutnya, Parti Warisan Sabah (Warisan) pula kekal dengan sokongan kuat di kawasan pantai timur dengan mengangkat naratif ‘Save Sabah’, autonomi negeri dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, Barisan Nasional (BN) masih mempunyai rangkaian UMNO luar bandar yang berpengaruh dan struktur jentera pilihan rayanya dianggap antara paling teratur selepas GRS.
Beliau berkata, PRN kali ini penting kerana ia memperlihatkan persaingan naratif yang lebih mendalam iaitu hala tuju Sabah sebagai entiti politik dalam Persekutuan Malaysia.
“Ia bukan sekadar soal parti apa yang memerintah. Ini termasuk isu MA63 serta pembangunan menyeluruh negeri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mendapati intensiti kempen parti bertanding kini lebih tersusun dan terfokus melalui ‘walkabout’, kunjungan komuniti dan ‘micro-targeting’ berbanding ceramah mega.
“Kempen berada pada tahap hangat, tetapi terkawal dengan parti-parti utama mengambil pendekatan strategik dan berhati-hati untuk mempengaruhi pengundi yang semakin kritikal serta celik maklumat,” katanya. -KOSMO! ONLINE














