PETALING JAYA – Jenama tempatan Getha terus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila sekali lagi dipilih sebagai Brand of the Year bagi kategori perabot, tilam dan peralatan tidur di World Branding Awards 2025–2026 di Osaka, Jepun.
Pengiktirafan ini menambah satu lagi pencapaian penting buat syarikat berkenaan kerana ia merupakan kali ke-10 sejak 2015 Getha menerima gelaran yang sama.
Dalam barisan jenama terkemuka yang bersaing, Getha hadir membawa identiti yang berakar daripada sejarah Malaysia.
Ditubuhkan pada 1969, Getha membina reputasinya melalui kualiti lateks asli tempatan.
Nama ‘Getha’ yang dipilih sejak awal penubuhannya lahir daripada perkataan ‘getah, mencerminkan peranan industri getah dalam membentuk ekonomi dan identiti negara.
Hari ini, produk berasaskan lateks semula jadi itu dipasarkan di lebih 30 negara sekaligus menjadi lambang inovasi Malaysia di peringkat global.
Operasi Getha disokong bekalan lateks tempatan yang diperoleh daripada kira-kira 120 juta pokok getah, membolehkan syarikat tersebut menghasilkan sehingga 121,000 tilam setiap tahun, disokong oleh tenaga kerja yang merangkumi lebih 300 kakitangan termasuk pekerja-pekerja yang telah bersama syarikat lebih empat dekad.
Pengarah Eksekutif Getha, Yong Mei Tsin berkata, pencapaian di Osaka membawa makna yang besar kepada syarikat itu.
“Kami bermula sebagai syarikat kecil yang berpegang pada kekuatan lateks tempatan.

“Melihat nama Getha berdiri sebaris dengan jenama-jenama antarabangsa yang berprestij hari ini benar-benar membuatkan kami tersentuh,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan
Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan yang membangunkan syarikat itu sejak awal.
Ramai dalam pasukan sudah bersama Getha selama puluhan tahun.
“Kejayaan ini sebenarnya milik mereka dan memberi semangat kepada kami untuk terus memperkemas mutu kerja dan mengangkat produk buatan Malaysia ke tahap lebih tinggi,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Yong menekankan bahawa komitmen terhadap penggunaan bahan semula jadi bukan sekadar strategi pemasaran.
“Pengguna sekarang lebih peka terhadap apa yang mereka beli dan bawa pulang ke rumah.
“Oleh itu, kami tetap setia pada lateks asli dan pendekatan yang lestari, dan ianya bukan sekadar gimik pemasaran semata-mata tetapi memang DNA kami,” jelasnya.
Dalam pada itu, Getha sedang menyiapkan sebuah produk baharu yang bakal diperkenalkan hujung tahun 2025.
Produk tersebut menggunakan inovasi yang telah melalui hampir sedekad penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan Getha, memberi isyarat kepada satu lagi lonjakan dalam kraf lateks premium negara.

Majlis World Branding Awards tahun ini berlangsung di Osaka City Museum of Fine Arts, Jepun, kali pertama acara tersebut dianjurkan di luar London selepas dua dekad.
Lebih 1,000 jenama dari 66 negara melalui proses penilaian menyeluruh, termasuk kajian pengguna, penyelidikan pasaran, penilaian profesional serta undian awam.
Kurang daripada 100 jenama dipilih sebagai penerima anugerah.
Antara pemenang tahun ini termasuk nama-nama global seperti Bangkok Bank, IKEA, Nike, Kopi Kenangan, Sennheiser, Lurpak dan Yakult.
Malaysia turut diwakili jenama terkenal seperti MR.DIY, Farm Fresh, Maybank, Tenaga Nasional, Zus Coffee dan Watsons.
Dalam sejarah penganugerahannya, World Branding Awards juga pernah mengiktiraf jenama-jenama antarabangsa seperti Apple, Coca-Cola, Spotify dan BYD, selain beberapa jenama tempatan seperti Petronas dan AirAsia.
Bagi Getha, anugerah kali ini mengukuhkan lagi peranan syarikat tersebut sebagai peneraju produk getah asli buatan Malaysia di pentas dunia, sambil membuktikan bahawa kualiti tempatan mampu berdiri setanding dengan jenama-jenama terkemuka dunia. – KOSMO! ONLINE















