fbpx
Mohamed Khaled bertemu dengan anggota-anggota tentera ketika meninjau aset-aset ATM yang akan digunakan pada persiapan Op Murni bagi menghadapi MTL 2025/2026 di Kem Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/ KOSMO!

4,428 anggota, lebih 7,800 aset ATM digerakkan hadapi musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi apabila menyiapkan seramai 4,428 anggota dan lebih 7,800 aset termasuk udara bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) menerusi Operasi Murni (Op Murni).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, anggota yang bersedia digerakkan merangkumi 266 pegawai dan 4,162 anggota melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di seluruh negara.

Katanya, kesiapsiagaan aset juga ditingkatkan secara besar-besaran melibatkan 506 mobiliti darat, 7,355 mobiliti air termasuk bot penyelamat dan peralatan keselamatan serta 19 aset udara bagi tujuan pengangkutan, tinjauan dan bantuan kecemasan.

“ATM merupakan sebahagian agensi yang terlibat dan bergerak di bawah Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan ia melengkapi usaha serta peranan yang dimainkan Nadma dan (lain-lain agensi),” katanya pada sidang akhbar selepas taklimat Op Murni di sini, hari ini.

Katanya, beberapa aset tambahan seperti trak diperoleh melalui Nadma dan diserahkan kepada ATM untuk digerakkan mengikut keperluan operasi begitu juga jambatan Bailey dan peralatan lain yang dibeli Nadma diserahkan untuk dikendalikan oleh ATM.

“Kita akan tengok pengalaman, tahap banjir yang kita lalui, buat ketika ini kerajaan sentiasa beri kerjasama dan kita percaya berasaskan kepada tahap banjir yang akan kita lalui mahupun yang akan datang, tentunya jika ada keperluan yang lain-lain, saya percaya kita (ATM) akan kemukakan,” katanya.

Katanya, ATM sentiasa memastikan kesiapsiagaan anggota, aset, dan ketiga-tiga perkhidmatan ATM berada pada tahap optimum serta mampu memberikan tindak balas pantas.

“Operasi ini selaras dengan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (Wogos) yang menekankan peranan ATM sebagai sokongan utama kerajaan dalam menghadapi kecemasan dan bencana alam, serta mendukung aspirasi Kertas Putih Pertahanan (KPP) melalui konsep Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) dalam melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI