SEREMBAN – Seorang kelindan lori dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya di kebun pisang di Nilai, dekat sini tahun lalu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 47 tahun mengaku bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Hukuman penjara itu diarahkan berjalan dari tarikh tangkapan. Mahkamah turut mengarahkan lelaki itu menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama setahun selepas selesai hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan itu ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun empat bulan pada pukul 12.30 tengah hari di kawasan kebun pisang Kampung Stesen 3, Mei 2024
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan dan Seksyen 15(a)(i) akta sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman yang minimum dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut. Tertuduh sudah berkahwin dan memiliki lima anak.-KOSMO! ONLINE















