KETIKA saat irama moden dan muzik digital menguasai carta penstriman, penyanyi Indonesia, Jovita Pearl memilih untuk mengembalikan roh muzik slow rock yang pernah menjadi nadi industri hiburan Nusantara menerusi single terbaharu berjudul Kau Yang Ku Puja.
Lebih daripada sekadar sebuah lagu cinta, Kau Yang Ku Puja merupakan penghormatan buat era kegemilangan muzik slow rock sekitar 1990-an hingga awal 2000-an yang pernah melahirkan pelbagai karya malar segar.
Bersama melodi melankolik, lirik menyentuh jiwa dan vokal serak-serak basah milik Jovita, lagu tersebut mengangkat rasa kagum, penghargaan serta cinta tulus terhadap insan yang paling bermakna dalam kehidupan.
Menurut penyanyi asal Jakarta yang dikatakan mempunyai suara persis Ratu Rock Ella itu, lagu tersebut membawa mesej yang cukup dekat dengan kehidupan orang ramai.
“Kau Yang Ku Puja adalah sebuah lagu tentang menghargai dan mengagumi seseorang yang sangat penting dalam hidup.
“Saya berharap pendengar dapat merasai emosi yang saya sampaikan dan menemui kisah mereka sendiri melalui lagu ini.
“Pastinya ramai yang melalui momen serta pengalaman indah bersama pasangan. Inilah rasa yang mahu saya sampaikan,” katanya.
Karya tersebut merupakan hasil ciptaan Jeremy Erskine, manakala hak cipta serta pentadbiran penerbitannya diuruskan syarikat hiburan dan penerbitan muzik Malaysia, Luncai Emas Sdn. Bhd.
Single itu diterbitkan di bawah label rakaman Dua Suara Media yang berpangkalan di Indonesia, sekali gus membuktikan kerjasama erat antara penggiat seni dua negara dalam menghasilkan karya berkualiti.
Kolaborasi rentas sempadan itu turut diperkukuhkan menerusi sentuhan produksi Paperplane Cloud Project yang menggabungkan identiti klasik slow rock dengan elemen muzik moden tanpa menghilangkan nilai sentimental lagu tersebut.
“Proses rakaman dijalankan di Bandung, Indonesia, menjadikan Kau Yang Ku Puja sebuah naskhah yang menyatukan kekuatan penulisan lagu Malaysia dengan kepakaran produksi muzik Indonesia,” tambahnya.
Titik penting
Sebagai antara bakat baharu yang mula mendapat perhatian dalam arena pop Melayu dan slow rock kontemporari, Jovita menyifatkan Kau Yang Ku Puja juga merupakan titik penting dalam perjalanan seninya.
Menerusi karya itu, dia bukan sahaja mempertaruhkan kemampuan vokalnya, malah membawa misi menghidupkan semula warisan muzik slow rock Melayu agar terus relevan dan dihargai merentas generasi.
Akuinya, gabungan ini menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja membangkitkan nostalgia peminat muzik lama, malah berpotensi memperkenalkan semula genre slow rock kepada generasi muda.
Selain boleh dinikmati menerusi pelbagai platform digital, lagu tersebut turut hadir bersama muzik video rasmi di YouTube yang melengkapkan penceritaan emosi di sebalik setiap bait lirik.
Dilancarkan secara rasmi pada 26 Jun lalu, Kau Yang Ku Puja dapat diikuti di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music, TikTok, Deezer dan Amazon Music.














