JAKARTA – Seorang wanita di Kotawaringin Timur, wilayah Kalimantan Tengah terkejut apabila wang tunai sebanyak 2.1 juta rupiah (RM540) dan 18 barang kemas miliknya dicuri oleh rakannya semasa dia menunaikan solat, lapor portal berita Kalteng Pos.
Ketua Polis Baamang, AKP M. Romadhon berkata, kecurian itu diketahui apabila mangsa singgah ke rumah rakannya sebelum meninggalkan beg tangan di ruang tamu untuk mengambil wuduk.
“Selepas selesai menunaikan solat, mangsa mendapati barang kemas dan sejumlah wang tunai miliknya hilang. Dia bertanya kepada rakan-rakannya tetapi tiada seorang yang tahu keberadaan barang tersebut.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis,” kata Romadhon.
Hasil siasatan mendapati, salah satu daripada 18 barang kemas milik mangsa berada pada seorang rakan suspek.
“Suspek yang dikenali sebagai DF mengaku mengambil barang kemas itu untuk diserahkan kepada rakannya sebagai cagaran hutang. Dia berniat untuk menebus semula barang kemas itu selepas hutangnya dilangsaikan.
“Mangsa mengalami kerugian kira-kira 50 juta rupiah (RM12,405). Semua barang itu berjaya ditemukan dan dirampas sementara sebagai bahan bukti,” katanya. – AGENSI














