KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan menjawab persoalan berhubung isu pemalsuan dokumen pemain warisan negara di Parlimen, esok.
Bagaimanapun, Menteri KBS, Hannah Yeoh menjelaskan aspek kesalahan jenayah adalah di luar bidang kuasa kementeriannya dan kini sudah pun diajukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“KBS akan membuat penggulungan dalam Parlimen di mana pembentangan bajet untuk KBS tahun 2026 akan dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen. Jadi, semua ini akan dijawab dalam Parlimen esok.
“Saya tidak mahu mendahului melalui sidang media. Jadi, saya minta media untuk mengikuti penggulungan esok. Untuk aspek jenayah, itu adalah di bawah bidang kuasa KDN, jadi kita akan serahkan kepada KDN.
“Saya telah menghubungi Menteri KDN (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), tetapi saya belum dapat lagi maklum balas sebab saya baru sahaja menghubungi beliau,” katanya Majlis Penyampaian Penajaan kepada Kontinjen Sukan SEA, hari ini.
Menerusi laporan bertulis yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), semalam, badan induk bola sepak dunia itu memandang serius kesalahan ini terutamanya melibatkan pemalsuan dokumen rasmi.
FIFA mengarahkan sekretariat untuk mengambil langkah sewajarnya bagi memaklumkan kepada pihak berkuasa di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia kerana pemalsuan adalah satu kesalahan jenayah.
“Saya tiada komen, tunggu esok,” kata Hannah ketika ditanya adakah KBS ambil inisiatif membuat laporan polis sebagai langkah pemula bagi membolehkan siasatan daripada pihak berkuasa dapat dimulakan. – KOSMO! ONLINE















