SHAH ALAM – Kerajaan negeri perlu lebih agresif dalam mengawal peningkatan sisa pepejal termasuk melalui cadangan menaikkan kadar ‘caj pay-as-you-throw’ atau bayar ikut apa yang dibuang oleh setiap isi rumah.
Cadangan itu disarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan-PN, Dr. Afif Bahardin pada sesi soal jawab lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini, susulan penghasilan lebih 7,000 tan sampah sehari yang direkodkan negeri berkenaan.
Menurutnya, struktur caj baharu berasaskan jumlah sampah dihasilkan mampu mengubah tabiat pembuangan masyarakat selain selaras dengan inisiatif menangani kesan perubahan iklim di negeri ini bersama Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC).
“Selangor antara negeri yang mencatatkan penghasilan sampah tertinggi iaitu melebihi 7,000 tan sehari. Jika dasar bayar ikut apa yang dibuang dilaksanakan, setiap isi rumah akan dikenakan caj berdasarkan jumlah sisa yang mereka hasilkan.
“Pulau Pinang sudah melaksanakan pendekatan ‘waste for reduction’ secara lebih agresif dan saya percaya Selangor boleh mengambil langkah sama,” katanya.
Tegasnya, pelaksanaan dasar itu memerlukan kesungguhan politik memandangkan jumlah sisa pepejal yang besar menjadikan Selangor antara penyumbang utama kepada impak perubahan iklim.
Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaludin berkata, kerajaan negeri terbuka meneliti cadangan tersebut dan bersedia membawanya ke perbincangan dasar bersama portfolio berkaitan. – KOSMO! ONLINE















