PONTIAN – Hidup seorang pemandu van bertukar sekelip mata apabila tubuh yang dahulunya kuat mencari rezeki kini semakin lemah susulan penyakit kanser Synovial Sarcoma yang dialaminya sejak tiga tahun lalu.
Mohamed Hafiz Mohamed Tahar, 49, mengakui kehidupannya juga semakin tidak terurus selepas kanser tisu lembut yang jarang berlaku itu menyebab ketumbuhan sebesar bola tenis pada tangan kanannya sebelum merebak ke bahagian paru-paru.
Bapa empat anak itu berkata, pada awalnya dia menyangka masalah bengkak itu hanyalah perkara biasa, namun telah merebak sehingga dia tidak lagi mampu untuk bekerja bagi menyara keluarga.
“Ketumbuhan itu bukan saja melemahkan tangan, malah membawa ke paru-paru. Berat badan pun jatuh mendadak, saya bukan lagi seperti dulu.
“Dahulu saya ketua keluarga yang mencari nafkah untuk menyuap mulut anak dan isteri. Apabila diuji sebegini, saya tidak lagi mampu berdiri untuk menyara mereka,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Home Visit Laksamana Johor Cancer Foundation (TLJCF) di rumahnya di Kampung Api-Api, di sini kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TLJCF, Mohd Ikmal Izam Zaini.
Menurut Mohamed Hafiz, ekoran penyakit itu, dia kehilangan sumber pendapatan sekitar RM3,500 sebulan kerana tidak lagi mampu bekerja.
“Mujur majikan mencarum dengan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Atas caruman selama 30 tahun itu, saya dapat Faedah Hilang Upaya Kekal sebanyak RM1,500 sebulan.
“Sikit sebanyak bantuan itu meringankan beban kami walaupun tidak seperti pendapatan asal,” katanya.
Katanya, Perkeso turut membantu persekolahan tiga anaknya dengan bantuan RM900 sebulan, namun jauh di sudut hati dia tetap berasa terkilan.
Mohamed Hafiz mempunyai empat anak berusia antara dua hingga 12 tahun, tiga daripada mereka belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Api-Api termasuk prasekolah.
Sementara itu, isterinya, Jamaliah Ab. Rahman, 41, berkata, dia terpaksa berhenti bekerja demi menjaga suami serta menguruskan anak-anak yang masih kecil.
“Dulu saya kerja di kilang Shimano di Pekan Nanas, tapi saya terpaksa berhenti sebab anak makin membesar, sekarang suami pula sakit, jadi saya kena kuat,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohamed Hafiz (013-765 1443) atau Jamaliah (010-852 8231) atau menyalurkan sumbangan ke Maybank 101151101735.















