CADANGAN supaya pemain kebangsaan dan pemain profesional yang berada di bawah program Road to Gold (RTG) menjalani latihan bersama selepas ini disambut baik Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan inisiatif itu sedang dirangka bersama Sekretariat RTG dan BAM bagi memastikan pemain-pemain menjalani latihan secara berkala.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, badan induk itu sentiasa terbuka dengan cadangan tersebut selain menjelaskan, ia bukanlah kali pertama pemain kebangsaan dan profesional menjalani latihan bersama.
“Ini sebenarnya bukan satu perkara baharu. Sebelum ini kami pernah melakukan latihan bersama dan itu termasuk ketika pandemik Covid-19. Kami juga pernah menjemput mereka berlatih bersama,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Ketika ini, pemain-pemain BAM yang berada di bawah program RTG adalah dua beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Wik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Sementara itu, pemain-pemain profesional alam RTG adalah gandingan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran berpengalaman, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Tambah Kenny, BAM perlu mengadakan perbincangan dahulu bersama barisan kejurulatihan, terutamanya pengarah beregu, Rexy Mainaky dan Penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam.
“Saya baru sahaja menerima maklumat ini semalam (kelmarin), jadi kita perlu lihat secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan latihan bersama. Saya percaya apa yang diumumkan Menteri adalah untuk kebaikan badminton negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















