BINTULU – Taktik sindiket menyeludup 103.46 kilogram syabu (Methamphetamine) dengan menyembunyikan dadah di dalam bagasi penumpang terbongkar apabila dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bintulu.
Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, dadah bernilai lebih RM3.3 juta yang diseludup keluar menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu dikesan di Unit Pemeriksaan Penumpang, Lapangan Terbang Bintulu kira-kira pukul 8 malam, 5 November lalu.
Katanya, kegiatan itu terbongkar selepas Pasukan Kastam Cawangan Operasi Penguatkuasaan dan Pegawai Kastam di Lapangan Terbang Bintulu menjalankan pemeriksaan terhadap empat bagasi penumpang yang menunjukkan imej imbasan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan telah menemui 100 bungkusan plastik yang mengandungi ketulan-ketulan kristal yang disyaki sebagai dadah jenis Syabu,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Bintulu, hari ini.
Norizan berkata, dua lelaki tempatan yang membawa bagasi tersebut turut ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE















