IPOH – Sekurang-kurangnya 10 kes kebakaran dilaporkan berlaku di negeri Perak setiap hari melibatkan kebakaran belukar, hutan dan longgokan sampah sejak awal tahun ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, sejak awal Januari hingga 26 Februari lalu, sebanyak 534 kes telah direkodkan dengan kebakaran belukar mencatat angka tertinggi iaitu 436 kes.
Menurut Azmi, pihaknya percaya faktor utama kepada berlakunya kebakaran itu adalah disebabkan oleh perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang seperti sengaja melakukan pembakaran terbuka dengan alasan membersihkan hutan bagi tujuan penanaman ataupun penerokaan secara haram.
“Dalam sembilan atau sepuluh kes setiap hari, anggota kami berusaha keras untuk memadamkan kebakaran belukar, longgokan sampah dan hutan yang kadang kala memakan masa sehingga berhari-hari dan ada yang mencecah sehingga 10 hari.
“Saya boleh katakan bahawa anggota kami kepenatan untuk memadamkan kebakaran yang sengaja dibuat oleh manusia,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Ibu Pejabat JBPM Perak di Meru semalam.
Tambah Azmi, pihaknya bagaimanapun tidak akan berputus asa untuk memadam kebakaran di kawasan hutan dan belukar bagi memastikan keselamatan orang awam dan keadaan alam sekitar sentiasa dijaga.

“Seramai 1,305 pegawai dan anggota JBPM di negeri ini termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa juga cabaran lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang sangat panas ketika ini.
“Sebagai contoh, kebakaran di Kampung Sindu, Simpang Pulai minggu lepas apabila 15 anggota terpaksa berjalan sejauh 10 kilometer untuk naik ke bukit dan memadamkan kebakaran seluas 16 hektar dengan sumber air yang terhad dalam tempoh 45 jam.
“Selang sehari kerja-kerja memadamkan api dilakukan, berlaku pula kebakaran di kawasan terletak kira-kira empat kilometer dari lokasi kebakaran sebelumnya. Kita percaya, ia adalah perbuatan khianat manusia,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya percaya kebakaran yang berlaku adalah perbuatan sengaja membakar atau tindakan manusia yang membuang puntung rokok merata-rata selain unggun api yang dibuat manusia ketika memburu haiwan.
Katanya, JBPM Perak menjangkakan cuaca panas yang melanda negara sekarang ini akan menyebabkan kes kebakaran meningkat dalam beberapa bulan akan datang sehingga Jun atau Julai tahun ini.
“Cuaca panas menyebabkan belukar, hutan dan longgokan sampah menjadi kering dan ia memudahkan lagi api merebak dengan pantas jika faktor angin diambil kira,” katanya.

















