TEHRAN – Pihak berkuasa Iran melakukan pembenihan awan untuk menggalakkan hujan ketika negara berkenaan dilanda kemarau paling buruk dalam tempoh beberapa dekad, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Proses itu dilakukan di lembangan Tasik Urmia pada Sabtu lalu, lapor agensi berita Irna.
Urmia adalah tasik terbesar di Iran tetapi sebahagian besar tasik berkenaan kering, meninggalkan lapisan garam yang luas.
Hujan berada pada paras terendah dan takungan air hampir kosong. Minggu lalu, Presiden Masoud Pezeshkian memberi amaran bahawa sekiranya hujan berterusan tidak turun, bekalan air di Tehran akan dicatu dan orang ramai mungkin dipindahkan.
Pembenihan awan melibatkan suntikan galian termasuk perak atau kalium iodida ke dalam awan menggunakan pesawat atau melalui penjana di atas tanah. Wap air kemudiannya memeluwap dengan lebih mudah dan bertukar menjadi hujan.
Agensi meteorologi Iran berkata, hujan berkurang kira-kira 89 peratus tahun ini berbanding purata jangka panjang, lapor Irna.
“Kita sedang mengalami musim luruh paling kering dalam tempoh 50 tahun,” tambahnya.
Pihak berkuasa sebelum ini mengumumkan rancangan untuk menghukum isi rumah dan perniagaan yang menggunakan air berlebihan.
Ketua Pusat Kebangsaan untuk Pengurusan Krisis Iklim dan Kemarau, Ahmad Vazifeh berkata, empangan di Tehran, Azerbaijan Barat, Azerbaijan Timur dan Markazi berada dalam keadaan yang membimbangkan, dengan paras air dalam peratusan satu digit. – AGENSI















