SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menjangka tempoh paling awal memulakan pelaksanaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga bersih dalam tempoh lima tahun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri kini berada dalam fasa awal penerokaan termasuk dari segi kepakaran.
“Saya sebut tadi, ini sangat awal. Kalau kita boleh buat, paling cepat pun dalam lima tahun. Sekarang ini ialah proses pembinaan kapasiti. Sudah tentu kita nak hantar beberapa pegawai yang lahir daripada fakulti dan kejuruteraan berkaitan nuklear.
“Kita juga akan rujuk kepada universiti tempatan. Beberapa universiti seperti UKM sudah hubungi saya untuk melihat bagaimana kita boleh berinteraksi. Ini semua sebahagian daripada langkah awal kita,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) yang ingin mengetahui perancangan kerajaan negeri dan anggaran tempoh pelaksanaan sepenuhnya sumber tenaga bersih menerusi tenaga nuklear.
Jelas Amirudin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, bidang tenaga nuklear di Malaysia masih kurang diterokai sehingga ada pelajar tempatan yang terpaksa mencari inisiatif sendiri di luar negara.
“Saya jumpa sendiri pelajar kita di Universiti Tsinghua. Mereka buat sendiri, mereka teroka sendiri. Kita melihat nuklear ini seolah-olah salah satu sins sector (sektor dilarang) yang tidak layak diterokai.
“Tetapi masa depan menuntut kita bersedia. Kita tak boleh bergantung kepada bahan api fosil seperti gas dan arang batu yang ternyata tidak mampan berbanding nuklear dan lain-lain,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan isu keselamatan, kebocoran dan persepsi awam masih menjadi perkara utama yang perlu diperjelaskan.
Katanya, pengalaman negara luar seperti Jerman wajar dijadikan pengajaran.
“Saya bertemu perwakilan Jerman. Mereka beritahu ada desakan kuat kelompok hijau (pencipta alam sekitar) untuk hentikan tenaga nuklear atas prinsip tertentu. Namun selepas beberapa tahun, Jerman terpaksa membeli tenaga daripada Perancis yang menjana tenaga nuklear dan menyalurkannya ke negara lain.
“Itu pengajaran penting. Kita kena lihat nuklear bukan dari satu sudut sahaja, tetapi sebagai penghasilan tenaga yang bersih,” katanya. – KOSMO!ONLINE















