fbpx
Seorang migran yang ditemui hanyut di perairan Langkawi, baru-baru ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Bot karam: Polis, Interpol jejak sindiket seludup migran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Polis mengesan sindiket penyeludupan migran dengan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) selepas bot membawa kira-kira 70 warga Myanmar karam sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 maut setakat ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, polis turut bekerjasama rapat dengan Polis ASEAN melalui perkongsian maklumat dan bukti bagi mempercepat tindakan penguatkuasaan terhadap rangkaian sindiket tersebut.

“Dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat unit khas iaitu Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang berkolaborasi dengan Interpol dan Polis ASEAN. “Kita akan kongsi maklumat dan bukti bagi menjejaki sindiket yang dipercayai beroperasi di negara-negara berjiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan terhadap 14 migran yang terselamat mendapati tiada ejen sindiket dalam kalangan mereka, termasuk dua individu yang pada awalnya disyaki tetapi kemudian disahkan hanya migran biasa.

Katanya, migran terbabit mendedahkan terdapat lima ejen sindiket warga asing yang hanya menghantar mereka ke sempadan perairan sebelum kekal di bot induk dan mengarahkan migran meneruskan pelayaran menggunakan bot lebih kecil.

“Migran itu juga mendedahkan sebelum pelayaran, ada lima tempat mereka berkumpul iaitu di antara Buthidaung dan juga Teknaf, sempadan satu terusan antara Myanmar dan juga Bangladesh.

“Modus operandi adalah kapal sindiket ini akan berlabuh di terusan itu dan hanya akan berlayar dengan kapasiti maksimum sebanyak 300 orang, jadi mereka tunggu sampai penuh.

“Ada juga yang sampai awal, mereka terpaksa tunggu sehingga seminggu. Bila cukup (orang) baru berlayar dengan ambil masa kira-kira dua minggu sahaja,” jelasnya.

Menurutnya, migran diberi makan tiga kali sehari dan bayaran perjalanan diuruskan keluarga mereka, selain beberapa catatan seperti nombor telefon turut ditemui untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, polis turut menyiasat dakwaan migran bahawa mereka hanya berhubung dengan saudara mara di Malaysia, termasuk kemungkinan wujud ejen di negara ini.

Beliau berkata, tiada waris tampil menuntut mayat atau memberi maklumat setakat ini, manakala bedah siasat mengesahkan semua mangsa maut akibat lemas dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26A Atipsom 2007.

“Setakat ini siasatan tidak mengesan kesalahan pemerdagangan orang, migran ini dipercayai rela berhijrah untuk mendapat kehidupan baharu,” katanya.

Sehingga semalam, sebanyak 43 migran ditemui hanyut di perairan Langkawi dengan 29 termasuk tiga kanak-kanak disahkan meninggal dunia, manakala di perairan Thailand sekurang-kurangnya 10 mayat turut ditemui. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN