SEOUL – Seorang lelaki dan wanita menerima kecaman pengguna media sosial selepas dirakam membuang air besar di tembok batu sebuah istana diraja di Korea Selatan, lapor portal berita VNExpress.
Kejadian dirakam di Istana Gyeongbokgung, tengah Seoul baru-baru ini.
Rakaman video kejadian dimuat naik di platform Instagram menunjukkan lelaki terbabit mencangkung dalam semak sambil memegang tisu tandas, manakala wanita di sebelahnya cuba menanggalkan seluar untuk membuang air.
Perakam memberitahu stesen penyiaran JBTC bahawa pasangan tersebut adalah sebahagian daripada kumpulan pelancong di kawasan berhampiran semasa kejadian.
“Ketika itu, ramai kumpulan pelancong dari China melawat Istana Gyeongbokgung,” katanya.
Polis dilaporkan campur tangan untuk menghentikan perbuatan tidak senonoh itu, namun mereka tidak menahan atau mengenakan tindakan ke atas pasangan berkenaan. – AGENSI















