fbpx
BYD Seal 6 dikategorikan segmen C dengan dimensi 4,720mm panjang, 1,860mm lebar dan 1,495mm tinggi.

BYD Seal 6 kereta elektrik sedan dengan binaan lebih tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM dunia yang menuju ke arah mobiliti hijau, BYD Seal 6 muncul sebagai simbol keseimbangan antara kuasa dan kecekapan.

Ini membuktikan bahawa kenderaan elektrik (EV) tidak perlu mengorbankan prestasi demi kelestarian dengan penawaran spesifikasi menarik.

BYD Seal 6 merupakan penawaran sedan kedua daripada BYD yang diposisikan di bawah Seal yang telah dikemas kini dan dilancarkan pada hujung September lalu.

Malaysia merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menerima kehadiran Seal 6 selepas China.

Untuk pasaran Malaysia, dua varian Seal 6 ditawarkan iaitu Dynamic pada harga RM100,000 dan Premium RM115,800.

Dengan pakej harga kompetitif, Seal 6 berjaya mencatatkan jualan lebih 100 unit hanya dalam minggu pertama selepas dilancarkan.

Kedua-dua varian adalah pacuan roda belakang (RWD), dengan varian Dynamic menghasilkan kuasa 129PS (95kW) dan 220Nm membolehkannya memecut dari pegun ke 100km/j dalam masa 10.9 saat.

Varian Premium pula lebih berprestasi dengan kuasa 218PS (160kW) dan 330Nm, dengan pecutan pegun ke 100km/j hanya dalam masa 7.5 saat.

Varian Dynamic dan Premium dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 56.64kWh dengan jarak gerak sehingga 485km mengikut kitaran NEDC.

Namun, jangkaan jarak pemanduan lebih hampir kepada 410km mengikut kitaran WLTP.

Malaysia merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menerima kehadiran BYD Seal 6 selepas China.

Seal 6 menyokong pengecasan pantas DC sehingga 100kW yang mengambil masa 23 minit untuk mengecas dari 30 ke 80 peratus.

Ia juga menyokong pengecasan AC sehingga 6.6kW dan dilengkapi dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) berkapasiti 3.7kW.

Seal 6 dikategorikan di bawah segmen C dengan dimensi 4,720 milimeter (mm) panjang, 1,860mm lebar, 1,495mm tinggi dan jarak antara roda 2,820mm.

Berbanding Seal model pertama (BYD Seal), Seal 6 lebih pendek dan kurang lebar tetapi lebih tinggi.

Baru-baru ini penulis bersama rakan media lain telah diberi peluang oleh BYD Malaysia untuk merasai pengalaman memandu Seal 6 varian Premium.

Sesi pandu uji yang bermula di Hulu Klang, Selangor menuju ke Janda Baik, Pahang seterusnya Genting Highlands membolehkan prestasi EV sedan ini diuji sama ada di jalan bandar, berbukit atau selekoh tajam.

Penulis agak kagum dengan prestasi model terbaharu Seal 6 ini, ia bukan sahaja hadir dengan rekaan minimalis sporty tetapi selari dengan prestasi yang dijana.

Mungkin Seal 6 adalah antara model terbaik BYD yang pernah dipandu penulis setakat ini.

Varian Premium diberikan bumbung panoramik yang membawa aura lebih mewah berbanding varian Dynamic.

Bagi yang tidak biasa dengan EV tetapi teringin memilikinya boleh mencuba Seal 6.

Cara pemanduan dan keupayaan Seal 6 tidak jauh beza dengan kereta petrol biasa, menjadikan sedan ini pilihan pengguna yang tidak terlalu ekstrem dengan EV.

Pecutan yang diberikan agak linear dengan aspek pemanduan dibantu dengan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multilink di belakang yang sesuai dengan bentuk permukaan jalan raya di Malaysia.

Ketika melalui selekoh tajam di Genting Highlands olengan badan Seal 6 tidak terlalu berbuai dengan kestabilan agak baik.

Penulis yang memandu dan duduk di bahagian penumpang tidak berasa pening, boleh dikatakan sedan ini sesuai untuk pemanduan jarak jauh bersama keluarga.

Kapasiti kargo Seal 6 adalah sebesar 525 liter dan boleh diluaskan sehingga 460 liter apabila ruang belakang direbahkan dengan kapasiti frunk 65 liter.

Dari segi reka bentuk, DNA Seal dikekalkan dengan Seal 6 kelihatan lebih elegan dengan sentuhan sporty.

Varian Premium mempunyai bumbung panaromik yang membezakannya dengan Dynamic.

Meninjau ruang kabin, Seal 6 tampil lebih ringkas dengan skrin kluster digital 8.8 inci dan skrin infotainment 12.8 inci.

Jentera ini dilengkapi Apple CarPlay dan Android Auto dengan bantuan suara dalam bahasa Inggeris, Melayu, Kantonis dan Mandarin.

Kesimpulannya, Seal 6 adalah pilihan ideal bagi pengguna yang mahu EV moden dengan kesimbangan antara teknologi canggih dan pemanduan berprestasi.

Penulis berpandangan bahawa BYD mendengar apa yang diinginkan oleh pengguna bagi merealisasikannya ke dalam satu pakej melalui Seal 6.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN