SEBERANG PERAI – Seorang pemandu bas pekerja berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dia pandu terbabas lalu masuk ke dalam parit di Jalan Science Park, Simpang Ampat di sini, malam tadi.
Mangsa lelaki berusia 23 tahun bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 9.44 malam tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan diketuai Penguasa Bomba Kanan Lela Dollah.
“Bas pekerja itu terbabas lalu melanggar sebatang pokok sebelum jatuh ke dalam parit. Seorang mangsa iaitu pemandu bas tersebut selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak membuat ‘size up’ di lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 10.28 malam tadi. – KOSMO! ONLINE














