KUALA LUMPUR – Dalam usaha menghasilkan lebih ramai pemain berkualiti di peringkat akar umbi, Kelab Badminton Sports Affairs mengambil keputusan menjalinkan kerjasama dengan syarikat logistik, VH Group.
Menerusi penajaan tersebut, Sports Affairs yang turut menempatkan beberapa pemain profesional seperti Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Goh Jin Wei serta jaguh para, Cheah Liek Hou bakal menerima banyak manfaat, terutamanya bagi pembangunan pemain remaja.
Presiden Sports Affairs, Raezal Hussein berkata, kerjasama yang dibuat bersama VH Group adalah sebagai salah satu langkah untuk mengatasi kekurangan pemain di peringkat akar umbi dalam arena badminton tanah air.
“Kolaborasi Sports Affairs dengan VH Group melibatkan penajaan dari segi program latihan, terutamanya pemain-pemain remaja. Selepas perbincangan, kami mengambil keputusan untuk fokus kepada akar umbi.
“Itu merupakan salah satu kekurangan dalam badminton Malaysia pada ketika ini. Disebabkan itu juga mereka datang untuk membantu serta menaja pemain-pemain muda, dari segi latihan dan kejohanan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan VH Group, Simon Wong menjelaskan, pihaknya dan Sports Affairs memiliki matlamat yang cukup selari, iaitu bagi melahirkan lebih ramai pemain badminton berbakat.
“Seperti yang saya cakap, kami berkongsi matlamat sama, iaitu bagi melahirkan lebih ramai pemain. kita cuba setahun dan tengok bagaimana program jurulatih serta aktiviti latihan mereka.
“Tidak ada sebarang sasaran diletakkan kerana saya setuju dan puas hati dengan program sedia ada. Apa yang paling penting adalah pemain perlu percaya dan memberikan sepenuh komitmen,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














