PETALING JAYA – Teka teki mengenai penggempur warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado selepas kontraknya bersama kelab Liga Colombia, America de Cali didakwa telah ditamatkan semalam.
Menurut laporan portal ElDeportivo.com.co, pemain berusia 30 tahun itu kini bergelar ejen bebas apabila pihak pengurusan mencapai persetujuan untuk menamatkan kontraknya yang berbaki hingga 2026 lebih awal.
Sumber portal terbabit turut mendedahkan Holgado yang lahir di Argentina tetap menerima gaji daripada kelab The Red Devils seperti yang telah termaktub dalam klausa kontraknya sebelum itu.
Pengurusan kelab serta peguam yang mewakili Holgado setuju dengan tawaran yang dikemukakan oleh America de Cali sekali gus mengakhiri kerjasama yang terjalin sejak tahun lalu.
Namun, setakat ini masih belum ada pengesahan rasmi daripada kelab yang berpangkalan di Cali, Colombia itu.
Sebagai rekod, Holgado sebelum ini terpalit dengan isu pemalsuan dokumen sehingga digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selama 12 bulan sejak September lepas.
Situasi ini menyaksikan Holgado menjadi pemain kedua daripada skuad ‘revolusi’ yang dibatalkan kontrak selepas Gabriel Palmero.
Selain Holgado dan Palmero, lima pemain warisan negara yang dihukum FIFA adalah Facundo Garces, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Hector Hevel dan Imanol Machuca.
Namun, semua pemain terbabit dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia untuk membuat rayuan terakhir dengan mengheret kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). – KOSMO! ONLINE














