fbpx
Brown trout pertama saya di bumi Chile (kiri). Kami menggunakan inflatable pontoon boat yang tidak berenjin, mendayung dan berhanyut di sepanjang sungai sambil mengilat gewang (kanan).

Jejak pemancing Malaysia ke Patagonia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Patagonia yang terletak di Amerika Selatan merangkumi sebahagian wilayah Chile dan Argentina merupakan kawasan pancingan terkenal untuk ikan trout serta salmon. Saya amat bertuah kerana dapat menjejakkan kaki dan memancing di sana.

Awal September lalu, salji terakhir baru saja mencair di kaki pergunungan Andes. Ketika udara dingin mula mencengkam dan langit kelabu berarak rendah di atas bumi Chile, saya kebetulan berada di daerah Temuco iaitu wilayah selatan negara ini kerana tugasan kerja selama seminggu.

Takdir punya caranya tersendiri, penerbangan pulang ke Malaysia tertunda sehari. Biarpun masanya singkat tetapi membuka peluang besar dalam hidup saya sebagai pemancing.
Melalui laman TikTok, saya menemui seorang guide tempatan bernama Ramon. Walaupun dia tidak tahu berbahasa Inggeris dan saya pula tidak tahu berbahasa Sepanyol, namun Google Translate menjadi jurubahasa kami.
Dengan bantuan terjemahan dan semangat pemancing sejagat, kami sepakat memburu ikan trout di Sungai Tolten iaitu salah satu sungai legenda di Utara Patagonia.

Sungai jantung Andes

Sungai Tolten mengalir dari glasier di Banjaran Andes membawa air sebening kristal yang membelah lembah hijau Chile. Arusnya deras seperti Sungai Kampar di Perak dengan kedalaman purata 1.5 meter, namun di selekoh dan lubuk tertentu boleh mencapai kedalaman lima meter.

Tiada sampah hanyut, tiada sisa manusia, hanya air sungai sejernih kristal yang membiaskan warna langit Patagonia kekelabuan.

Teringin benar saya hendak mandi, tapi suhu 4 darjah Celsius cukup untuk membatalkan niat ‘romantik’ itu.

Kami menaiki inflatable pontoon boat tanpa enjin, dikemudi hanya dengan dayung oleh Ramon. Sepanjang hari, kami berhanyut hampir 30 kilometer menyusuri sungai. Kiri dan kanan, gunung bersalji menjadi saksi perjalanan ini.

Saya membawa joran prototaip Rentaka Move digandingkan dengan kekili Shimano Aldebaran 31, tali ujian, Rentaka Tempur 12lb dan perambut, fluorocarbon 20lb.

Suasana dingin, hati panas

Cuaca mendung, suhu sekitar empat hingga tujuh darjah Celsius. Nafas keluar menjadi wap, jejari jadi kaku, namun semangat membara.

“Umpama mengilat dalam peti ais,” saya bergurau pada diri sendiri.

Ramon yang masih skeptikal melihat set baitcasting saya telah membawa seorang lagi rakannya, Jonathan iaitu pemancing layang berpengalaman.

“Trucha muy tímida (trout pemalu),” kata Ramon melalui Google Translate sambil tersenyum.

Ikan brown trout di Patagonia boleh membesar sebagak ini di musimnya.

Katanya, musim ini bukan waktu terbaik, ikan trout belum agresif, dan kumpulan salmon masih belum naik dari laut. Tapi bagi saya, cabaran itulah nikmatnya.

Jonathan memberi tip ringkas: “Karauan perlahan, dan jerk-stop. Memancing trout adalah seni bernegosiasi, ia kena dipujuk, bukan digertak”.

Lesen trout pertama

Separuh jam pertama, hanya karauan kosong dan tangan sejuk membeku. Tetapi apabila gewang Rapala Countdown 8 sentimeter pinjaman Ramon itu berenang manja di celah batu, tiba-tiba satu sentapan terasa di hujung tali.

Saya angkat joran, dan di permukaan air yang sejernih kaca, muncul seekor rainbow trout seberat kira-kira 500 gram.

Trout pertama dalam hidup saya, lesen rasmi di bumi Andes.

Semakin petang, teknik stop and jerk yang saya biasa praktikkan ketika memburu ikan kelah di Kalimantan, Indonesia mula menunjukkan hasil.

Seekor demi seekor ikan trout berjaya saya daratkan, tidak kira sama ada dari sebalik reba, bawah pepohon rimbun atau di ekor jeram.

Rupa-rupanya, habitat ikan trout ini tidak jauh berlainan dengan ikan-ikan di Malaysia. Bezanya cuma suhu dan nama sahaja.

Spesies perlawanan

Di Sungai Tolten, dua spesies ikan trout mendominasi iaitu brown dan rainbow.

Dari segi perlawanan, memang sedikit mengecewakan jika diban­dingkan dengan ikan di negara kita.

Ikan trout di perairan sejuk ini nampaknya lebih ‘tenang’, mungkin kerana suhu persekitaran yang rendah membuatkan metabolismenya tidak sekuat ikan tropika.

Antara kedua-duanya, rainbow trout menawarkan perlawanan yang lebih kuat dan lebih lama.

Perbandingan dua dunia

Di Chile, hanya dua gaya pancingan trout diamalkan, pancing layang atau set spinning. Di kedai-kedai pancing tempatan, gewang jenama Rapala dan Salmo mendominasi rak-rak mereka.

Tiada lambakan gewang dari Jepun atau China. Mungkin dunia pancing di sini tertinggal 10 hingga 20 tahun ke belakang berbanding kita, tetapi keaslian dan semangat mereka masih lagi tulen.

Joran kembara pelbagai keratan, Rentaka Move yang saya bawa seolah-olah senjata perang dari masa hadapan bagi mereka. Lucunya, semua guide yang saya temui tidak tahu langsung mengendalikan set baitcaster.

Pada penghujung hari, 26 ekor ikan trout berjaya saya daratkan berbanding hanya empat ekor hasil pancing layang oleh Jonathan.

Mereka berdua akhir­nya tersenyum.

“Awak orang Malaysia memang luar biasa,” saya hanya ketawa kecil.

“Mungkin sebab tangan panas dari Malaysia, ikan sini tak sempat tidur,” saya membalas.

Rasa sejuk, rasa manis

Semua ikan kami lepaskan kembali kecuali seekor brown dan rainbow trout untuk saya pan-grill di apartmen malam itu. Rasanya manis dan lembut, jauh lebih sedap daripada salmon yang dibeli di pasar raya. Mungkin kerana ia liar, segar, dan datang dari sungai yang sesuci embun Andes.

Hari itu menutup tirai seminggu saya di Chile dengan cara yang paling tidak dijangka.

Di bumi yang terletak 17,000 kilometer jauhnya dari Malaysia, di sungai glasier yang dingin dan jernih, saya menemui bukan sahaja trout pertama saya tetapi rasa syukur.

Sungai Tolten mengajar saya bahawa memancing bukan tentang siapa paling banyak dapat ikan, tapi siapa paling banyak bersabar.

Mungkin suatu hari nanti, lebih ramai pemancing Malaysia akan menjejakkan kaki ke sungai-sungai di wilayah Patagonia ini.

Namun bagi saya, biarlah pengalaman ini kekal seperti airnya iaitu jernih, dingin dan tak ternilai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN