SUNGAI Perak merupakan lembangan sungai yang kedua terpanjang di Semenanjung dan menjadi lubuk kepada pelbagai spesies ikan air tawar. Bagi pengilat, ikan sebarau sering menjadi sasaran kerana ia banyak terdapat di sepanjang sungai ini.
Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan adalah lubuk-lubuk di antara Kuala Kangsar sehingga ke Lenggong kerana mempunyai struktur dasar serta arus yang bersesuaian untuk habitat sebarau.
Selain itu, faktor lain menjadikan Sungai Perak tumpuan adalah kerana terdapat banyak anak-anak ikan yang menjadi diet utama sebarau. Kebiasaannya, ketika air dan cuaca elok, pengilat tidak perlu menunggu lama kerana kumpulan sebarau akan keluar berkeliaran mencari makan.
Air keruh
Saya selalu juga turun mengilat gewang mencari sebarau di Sungai Perak ini bersama sahabat yang merupakan seorang tekong iaitu Syafiq. Namun, semua kunjungan saya sebelum ini tidak bernasib baik untuk menaikkan sebarau dan hanya toman yang saya dapat.
Kebelakangan ini, tangan ‘gatal’ hendak mengilat sebarau lagi, lantas Syafiq dihubungi, tetapi dia memaklumkan keadaan air sungai agak keruh dan tidak sesuai untuk turun kerana musim hujan.
Gian punya pasal, saya memutuskan untuk tetap juga mencari sebarau. Syafiq terpaksa bersetuju dan kami memutuskan untuk turun di sebelah petang sahaja.
Sekitar pukul 3 petang saya sampai di Jeti Nelayan Kampung Chegar Galah dan tidak lama selepas itu, Syafiq sampai bersama botnya.
Kami memutuskan untuk cuba menghilir dahulu ke arah satu kawasan berbatu kerana kebiasaannya di situ merupakan lokasi berpotensi untuk sebarau.
Hampir ‘besar sebelah’ jadinya lengan saya melontar gewang, malangnya tiada langsung kelibat sebarau yang sudi menyambar pelbagai gewang yang saya mainkan.

Oleh itu, kami bertukar lokasi dengan menuju ke arah hulu sungai pula iaitu sekitar pertembungan antara Sungai Perak dan Sungai Pelus.
Pantang menyerah
Setelah sampai di lokasi, saya terus membuat lontaran demi lontaran gewang, namun masih tiada sambaran.
Keadaan air di hulu sungai yang sedikit keruh membuatkan sebarau kurang aktif, kumpulan ikan-ikan kecil pun kurang bermain air. Kami terus berpindah ke beberapa lokasi lain.
Apa yang saya pelajari selama ini, jika ikan pemangsa tidak aktif, jangan sesekali berputus asa, sebaliknya terus membuat lontaran gewang tanpa henti sehingga terjumpa lokasi ikan.
Oleh itu, set mengilat yang ringan amat disyorkan supaya tidak kepenatan menghayun joran dan melontar gewang tanpa henti.
Saya guna kekili Abu Garcia Revo LTZ dan Daiwa Steez SV yang digandingkan bersama joran Palms Molla 6-12lb dan Evergreen Temujin The Rebellion 8-16lb.
Usaha saya membuahkan hasil apabila gewang Senses Savior 50s mendapat sambaran seekor sebarau.
Walaupun saiznya tidak besar, namun cukup membuatkan saya berpuas hati kerana berjaya memujuknya tatkala keadaan air sungai yang kurang elok.
Kami berlabuh di situ dan terus mendapat beberapa lagi sambaran dari sebarau dengan saiz lebih kurang sama.
Benarlah seperti julukan ‘serigala sungai’ kerana sifatnya yang memburu secara berkumpulan.
Penutup hasil apabila saya menerima sambaran seekor sebarau menggunakan gewang Jackall Bonnie 95 di kuala Sungai Pelus.
Walaupun hasil kurang memberangsangkan, namun saya tetap akan kembali dan cuba untuk mendapatkan saiz sebarau idaman di Sungai Perak.














