DUNGUN – Geng penjenayah yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan polis dengan penahanan empat individu termasuk seorang wanita semalam.
Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 64 tahun tersebut berjaya diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus pada pukul 3.15 petang.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kumpulan penjenayah berkenaan dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya empat kes pecah rumah di daerah ini termasuk tiga di Paka di sini.
Beliau berkata, serbuan berjaya menemui sebahagian barangan berharga yang dipercayai telah disamun kumpulan itu.
“Antaranya telefon bimbit, komputer riba, jam tangan berjenama, tablet grafik, barang kemas, dan peralatan elektronik.
“Ujian saringan awal juga mendapati tiga daripada empat suspek positif dadah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Maizura berkata, semakan mendapati salah seorang suspek berusia 30 tahun memiliki 23 rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, lelaki itu telah disabit 11 kes penyalahgunaan dadah, jenayah (11) dan satu kes mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














