PEMBENTANGAN Belanjawan 2026 telah diumumkan. Bagaimanapun, pihak yang mempunyai kepentingan dalam sektor tertentu pasti berharap setiap peruntukan itu akan membawa sinar terhadap perkembangan industri memayungi mereka.
Bagi penggiat seni terutama persembahan langsung, insentif mencecah RM10 juta untuk penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan antara khabar gembira untuk penganjur.
Secara tidak langsung, bajet yang dapat diagihkan kepada syarikat promoter yang layak itu juga dapat digunakan bagi merealisasikan sebuah persembahan berskala mega setara dengan produksi antarabangsa.
Bahkan, suntikan diberikan kerajaan juga mampu membuka lebih peluang membariskan artis mega yang pada masa sama dapat menarik pelancong ke negara ini untuk berhibur sambil bercuti.
Sekali gus, insentif mencecah RM10 juta jika dimanfaatkan sebaik mungkin diyakini dapat menjana semula pulangan berganda terhadap ekonomi negara.
Perkara tersebut turut diakui Pengasas Icon Entertainment Sdn Bhd, Iman Tang yang memaklumkan kerajaan antara pemangkin dalam menaik taraf penganjuran konsert tempatan bagi mencapai standard serantau.
“Pastinya dana ini melebarkan lagi peluang buat penggiat seni terutama artis tempatan untuk tampil dalam sebuah konsert yang lebih besar dan berkualiti.
“Andai kita dapat mencapai tahap penganjuran setaraf konsert di peringkat ASEAN juga sudah merupakan satu pencapaian besar.
“Negara juga mempunyai ramai penyanyi hebat. Menerusi insentif ini, mungkin yang belum berpeluang muncul dalam sebuah konsert dapat memenuhi permintaan ramai,” katanya.
Melihat prestasi Icon Entertainment yang aktif merealisasikan konsert gah termasuk GenKRU, Iman juga berharap peruntukan atau insentif yang disalurkan kerajaan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Baginya yang turut membawa masuk artis antarabangsa seperti Boyz II Men, setiap sen perlu digunakan untuk mengelolakan sebuah persembahan langsung terbaik.
“Janganlah ada yang mahu menyalahgunakan peluang serta ruang diberikan.Insentif sebegini adalah demi pembangunan industri seni ini sendiri.
“Suntikan bantuan ini juga sebagai tambahan untuk penganjur menambah baik konsert dengan teknologi moden yang tentu sahaja membabitkan kos tambahan lebih besar.
“Apabila penganjur lebih kreatif dan berani bereksperimentasi, kita juga dapat tarik minat pelancong serantau melalui pelancongan muzik,” ujarnya.
Mempunyai lebih tiga dekad pengalaman dalam hiburan ‘live’, Iman juga berharap penganjur konsert tempatan menggunakan insentif kerajaan ini sebagai usaha memartabatkan mutu konsert tempatan ke tahap antarabangsa.














