PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan empat warga Myanmar yang diperlukan untuk hadir perbicaraan di mahkamah melibatkan kes pendakwaan di bawah Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63.
JIM dalam kenyataan berkata, individu-individu berkenaan dikehendaki tampil segera bagi membantu proses tersebut.
“Mereka yang dicari Zaw Htet Aung, 22, Thet Tun Naing, 35, Tun Pyae Shain, 21, dan Soe Moe Kyaw, 21.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai lokasi atau kehadiran individu-individu ini diminta menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan (TPPK), Ella Fazlina Mat Misiah dari Cawangan Siasatan Khas (USK 5), Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM, Putrajaya,” katanya, hari ini.
Katanya, maklumat boleh disalurkan melalui talian 03-8880 1211 pada waktu pejabat atau 03-8880 1555 (Bilik Gerakan) selepas waktu pejabat. – KOSMO! ONLINE














